Tanpa Pak Nil, peluang saya mungkin tidak sebesar kini - Danial Cheang - Utusan Malaysia

Tanpa Pak Nil, peluang saya mungkin tidak sebesar kini – Danial Cheang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengacara dan personaliti media sosial, Danial Cheang, mengakui Datuk Aznil Haji Nawawi atau Pak Nil banyak menjadi sumber inspirasi dalam perjalanan awalnya sebagai pengacara dalam industri pengacaraan.

Menurut Danial atau nama penuhnya Daniel Cheang Adenan Cheang, 31, Pak Nil bukan sekadar seorang hos televisyen, sebaliknya individu yang membuka ruang kepada generasi baharu untuk mencipta nama dalam industri hiburan.

“Saya rasa ramai membesar dengan program-program yang dihoskan Pak Nil seperti Tom Tom Bak dan Akademi Fantasia. Beliau memang sebahagian besar daripada zaman membesar ramai orang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Danial yang juga merupakan juara program Malaysian Host Wanted 2026 itu berkata, ketika kecil dia melihat Pak Nil sebagai antara pengacara yang memiliki aura setanding hos antarabangsa.

“Saya selalu tengok program antarabangsa dan bila tengok Pak Nil, saya rasa Malaysia juga ada pengacara yang setaraf. Dari situ timbul rasa nak jadi seperti dia,” katanya.

Mengulas dakwaan segelintir netizen yang menganggap Pak Nil sudah tidak relevan, Danial bagaimanapun menyifatkan pandangan itu tidak adil memandangkan pengacara berkenaan banyak menyumbang kepada perkembangan industri penyiaran tempatan.

Katanya, ramai tidak mengetahui Pak Nil sebenarnya bermula sebagai wartawan sebelum perlahan-lahan membina nama sebagai pengacara terkenal.

“Semasa Pak Nil jadi wartawan, Pak Nil mencari alternatif sendiri apabila sesetengah artis itu tidak memberi komen. Perkara ini diceritakan oleh Adly Syairi iaitu Ketua Thinker Studio kepada saya dan saya rasa usaha Pak Nil itu sesuatu yang ramai tidak terfikir,” ujarnya.

Tambahnya, pengacara nombor satu negara itu memainkan peranan besar dalam melahirkan bakat-bakat pengacaraan menerusi program On Air Talent yang disifatkannya sebagai platform penting buat generasi muda.

“Kalau bukan sebab program itu dan Pak Nil sendiri yang mengendalikan kami, mungkin peluang saya untuk jadi pengacara tidak sebesar hari ini,” katanya.

Menurut Danial, gaya pengacaraan hari ini juga banyak berubah berbanding era Pak Nil yang lebih menitikberatkan sistem dan disiplin dalam penyampaian di televisyen.

Katanya, pengacara generasi baharu kini lebih santai dan bebas, namun tidak semua gaya yang berjaya di media sosial sesuai diterapkan di kaca televisyen.

“Sekarang ramai orang nampak seseorang itu bagus di TikTok atau YouTube, tetapi bila masuk televisyen, suasananya berbeza dan ada yang jadi kekok,” ujarnya.

Dalam pada itu, Danial mengakui satu nasihat Pak Nil yang paling diingatinya sehingga hari ini adalah supaya anak-anak didiknya menjadi lebih baik daripada dirinya sendiri.

“Pak Nil selalu pesan, jangan jadi seperti dia, tetapi jadilah lebih baik daripada dia. Dia tak pernah rasa tergugat dengan bakat baharu dan sentiasa mahu melihat generasi muda berkembang lebih jauh,” katanya.

Terdahulu, Daniel Cheang dinobatkan sebagai juara sulung program realiti Malaysian Host Wanted Musim Pertama pada February 2026 lepas. Beliau menewaskan finalis lain untuk membawa pulang hadiah tunai berjumlah RM30, 000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN