KOTA BHARU: Tempoh reman terhadap dua suspek kes pembunuhan kejam seorang gadis yang ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh dekat sini dijangka disambung selepas tamat esok.
Terdahulu, kedua-dua lelaki berusia 19 tahun direman selama tujuh hari bermula 2 Mei lalu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan sebelum pendakwaan dilakukan.
“Tempoh reman itu bergantung kepada keputusan pihak mahkamah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, suspek utama kes bunuh remaja perempuan yang ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh dekat sini dijangka dituduh dalam masa terdekat.
Terdahulu, polis menemukan 61 kesan tikaman pada badan gadis yang dipercayai mati dibunuh sebelum mayatnya dibuang di Kampung Simah.
Maklumat tersebut hasil pemeriksaan awal dilakukan oleh pasukan forensik bermula dari bahagian muka sehingga kaki.-UTUSAN










