Sultan Selangor kekal pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi

Sultan Selangor kekal pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi

Kuil Selangor
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu.

Baginda menegaskan, isu penternakan haiwan itu dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya demi mengelakkan keresahan serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat terpelihara.

“Pendirian tersebut dibuat setelah mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi,” katanya menerusi Setiausaha Sulit Kanan, Datuk Mohamad Munir Bani.

Kenyataan itu dikeluarkan menerusi posting di media sosial Facebook, semalam.

Mohamad Munir turut berkata, baginda menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selain itu, kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos yang amat tinggi dan tidak praktikal serta tidak mungkin dapat dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di Negeri Selangor sahaja.

“Justeru, Baginda mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang makan babi di negeri Selangor,” titah baginda.

Sultan Selangor juga berpandangan penternakan babi berskala besar mahupun kecil adalah tidak sesuai dilaksanakan di Negeri Selangor memandangkan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi, yang sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN