IPOH: Pihak kesihatan negeri Perak menafikan dakwaan kelewatan pasukan ambulans dalam kemalangan maut membabitkan seorang pegawai pergigian wanita di Pulau Pangkor pada 6 Mei lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, dakwaan yang terkandung dalam video tular di media sosial itu adalah tidak berasas dan palsu.
Beliau berkata, dalam kejadian yang berlaku pada hari tersebut sekitar pukul 10.55 pagi di Jalan Pasir Bogak, Pusat Penyelarasan Kecemasan Perubatan (MECC) menerima panggilan pada pukul 10.57 pagi.
Jelasnya, maklumat itu kemudian disalurkan kepada Klinik Kesihatan Pulau Pangkor pada pukul 11.01 pagi dan pasukan ambulans bergerak keluar pada pukul 11.10 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 11.12 pagi.
“Rakaman video tular oleh seseorang itu langsung tidak boleh diterima. Ini perkara yang serius dan boleh saya katakan dakwaan ini sesuatu yang palsu. Kandungan video tular itu tidak berasas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam video tular tersebut, seorang individu mendakwa kononnya berlaku kelewatan ambulans yang masih belum tiba di lokasi kemalangan motosikal membabitkan pegawai pergigian tersebut, mendiang Dr. M. Pavitraa.
Sivanesan berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh petugas Klinik Kesihatan Pulau Pangkor susulan tular berkenaan.
Beliau menasihatkan petugas itu untuk membuat laporan polis tambahan kerana kurang senang dengan beberapa dakwaan oleh individu dalam video tersebut.
“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan terus memantau perkembangan isu ini dan jika perlu akan mengeluarkan kenyataan.
“Langkah ini penting bagi memperbetulkan persepsi masyarakat serta menegaskan bahawa respons ambulans dalam kejadian ini telah mematuhi garis panduan dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya. – UTUSAN










