Lepasan SPM digalakkan sertai TVET Pertanian

Lepasan SPM digalakkan sertai TVET Pertanian

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) pada Majlis Peluncuran Program Skuad Agrikomoditi di Dewan MPOB di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Golongan belia khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan untuk menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian sebagai pilihan utama menyambung pelajaran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara mesti melahirkan generasi baharu tenaga mahir agrikomoditi melalui TVET Pertanian dan latihan berasaskan industri.

Menurutnya, TVET kini bukan lagi pilihan kedua atau ketiga, sebaliknya menjadi pemacu kepada penyediaan tenaga kerja mahir yang mampu meraih pendapatan lumayan.

“Saya akan menggalakkan lepasan SPM untuk masuk ke TVET Pertanian dan kita mahu memartabatkan bidang ini selain daripada bidang akademik.

“Malah, mereka yang bekerja kuat dalam sektor ini mampu meraih gaji yang melepasi atau melebihi kadar gaji minimum. Insya-Allah, TVET akan menjadi pilihan utama anak muda untuk bersama-sama memartabatkan sektor komoditi kita,” katanya ketika berucap di Majlis Peluncuran Program Skuad Agrikomoditi di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pelancaran skuad tersebut, Ahmad Zahid menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai pencetus perubahan besar kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta negara.

Katanya, skuad itu berperanan sebagai ejen advokasi yang akan turun ke akar umbi untuk mengubah persepsi rakyat terhadap sektor itu.

“Skuad ini diharapkan dapat menyampaikan kesedaran dan meyakinkan rakyat bahawa agrikomoditi adalah sektor yang moden dan mampu menjana ekonomi negara. Mereka adalah penyumbang utama kepada kemajuan ekonomi kita.

“Saya mahu skuad ini digerakkan secara berperingkat di setiap kawasan Parlimen sebagai jaringan lapangan yang menyambung maklumat dasar kerajaan terus kepada pekebun kecil, pengusaha, dan komuniti desa,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad memaklumkan, program yang julung kali diadakan itu adalah inisiatif strategik memperkukuh advokasi sektor komoditi.

“Penglibatan golongan belia dan pelajar amat penting bagi kerana mereka bukan sahaja bakal menjadi tenaga kerja berkemahiran, malah agen perubahan yang membawa inovasi dan teknologi.

“Melalui pendedahan, latihan dan pengalaman, generasi muda berpotensi mengangkat sektor agrikomoditi ke tahap lebih tinggi dan berdaya saing global,” katanya.

Tambahnya, skuad ini juga bertindak sebagai platform kesukarelawanan dan penyampaian maklumat kepada masyarakat melalui pendekatan rakan sebaya, pemerkasaan ilmu serta penglibatan aktif dalam aktiviti komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN