KUALA LUMPUR: Matlamat akhir dasar sosial bukan untuk mengekalkan rakyat sebagai penerima bantuan tetapi mengangkat mereka supaya mampu membina masa depan keluarga sendiri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara (DSN) 2026-2030 yang mengandungi 102 inisiatif akan berpaksikan empat tumpuan utama bagi memperkukuh kesejahteraan sosial rakyat.
Beliau berkata, empat tumpuan utama itu adalah pencegahan, pemerkasaan, promosi dan perlindungan.
“Bantuan tetap penting, khususnya kepada mereka yang memerlukan tetapi matlamat akhir dasar sosial bukan untuk mengekalkan rakyat sebagai penerima bantuan sahaja. Matlamat kita adalah mengangkat mereka supaya mereka mampu berdiri, bekerja, berniaga, menyumbang dan membina masa depan keluarga sendiri.
“DSN 2030 tempoh hari telah memberi kita arah. Hari ini, pelan tindakan ini akan memberi kita gerakan yang lebih tersusun untuk memaknai asas dasar tersebut.
“Ia memastikan bantuan tidak bertindih, maklumat tidak terputus, kumpulan rentan tidak tercicir dan setiap intervensi benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan DSN 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, cabaran sosial masa kini semakin kompleks apabila tekanan sosial bertembung dengan tekanan ekonomi, selain kemajuan digital yang turut membawa risiko baharu.
Katanya, ia termasuklah penipuan dalam talian, eksploitasi kanak-kanak dan penyebaran kandungan berbahaya.
Beliau berkata, kerjasama pelbagai pihak juga perlu diperkukuh melibatkan kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta, ahli akademik dan komuniti kerana masalah sosial tidak boleh diselesaikan secara berasingan.
“Setiap inisiatif di bawah pelan tindakan itu akan mempunyai pemilik tanggungjawab yang jelas, petunjuk prestasi utama (KPI) yang boleh diukur, garis masa pelaksanaan dan pemantauan berkala menerusi Majlis Sosial Negara.
“Jangan tunggu keluarga runtuh baru kita masuk. Jangan tunggu anak tercicir baru kita bertindak. Jangan tunggu warga emas terabai baru kita simpati. Jangan tunggu belia hilang arah baru kita mencari jalan. Dasar sosial yang baik mesti hadir lebih awal,” katanya. – UTUSAN









