Onn Hafiz tidak boleh biasa-biasa

Onn Hafiz tidak boleh biasa-biasa

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Menteri Besar Johor yang baharu, Onn Hafiz mengaminkan doa dalam Majlis Mengangkat Sumpah Menteri Besar Johor di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, baru-baru ini. – GAMBAR RPO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DATUK Onn Hafiz Ghazi sudah dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19. Selesai satu bab penting dari segi melunaskan keperluan demokrasi untuk negeri itu dengan mempunyai seorang menteri besar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai pada 12 Mac lalu.

Seterusnya, UMNO perlu membuktikan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Januari lalu dengan janji mewujudkan kestabilan politik mesti dikotakan. Rakyat tidak mahu tahu apa berlaku di belakang tabir. Mereka telah mengalami kelesuan dan kebosanan politik. Kini mereka menagih supaya kestabilan politik dapat disegerakan dan tidak menjadi mangsa politik sekali lagi.

Onn Hafiz perlu lebih berani, bijak dan luar biasa untuk melakukan anjakan kepemimpinan serta pembangunan baharu Johor. Visi beliau tidak boleh setakat biasa-biasa. Prestasinya tidak boleh sama takuk dengan kepemimpinan UMNO sedia ada. Mesti berupaya untuk dilihat lebih bersih, berintegriti dan prihatin rakyat selain mampu mewujudkan tadbir urus berorientasikan teknologi dan sistem masa depan.

Beliau perlu memiliki set rancangan pembangunan yang futuristik dan kalis masa depan. Ketika membawa Johor ke dalam radar ekonomi termaju serantau, Singapura mesti dijadikan kayu ukurnya. Pembangunan dengan ciri persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) perlu diwujudkan dengan adil. Kemajuan mesti dicapai untuk membuahkan kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi.

Dalam masa sama, lantikan Onn Hafiz turut memintas beberapa selekoh tajam yang sekian lama menyukarkan proses mentransformasi UMNO. Antaranya, menyelamatkan UMNO daripada terus dibebani imej buruk, dirantai persepsi negatif dan dikongkong pemikiran warlord yang lapuk dalam partinya.

Anggaplah pengundi menjunjukkan jalaan untuk memulakan reformasi politik sekurang-kurangnya dalam UMNO sendiri. Beri sedikit autonomi kepada beliau mencorakkan Johor dan membuktikan orang muda mampu memimpin, melaksanakan pembangunan serta mencapai kemajuan.

Jadi, semua parti politik mesti melakukan anjakan paradigma dengan berfikir, berpolitik dan bertindak lebih matang. Sama-sama mencari titik persamaan untuk kepentingan rakyat adalah lebih baik berbanding sikap asyik membina tembok, memanipulasi isu dan membuat tawaran sehingga rakyat akhirnya menolak politik sekali gus enggan menyertai proses pembetulan politik semua parti dan amalan demokrasi seperti yang mulai ditunjukkan sekarang.

Pada masa sama, Onn Hafiz boleh menimbangkan penubuhan platform baharu untuk beliau berkomunikasi dan mendapat input secara rasmi daripada semua parti.-UTUSAN

MK AHMAD A. BAKAR, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya