Perlu lebih selektif pilih kejohanan - Utusan Malaysia

Perlu lebih selektif pilih kejohanan

LEE Chong Wei (kanan) pernah menyebut Lee Zii Jia perlu membayar dengan harga cukup mahal jika ingin menjadi pemain terbaik dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PEMAIN badminton, Lee Zii Jia bakal menggalas tanggungjawab besar apabila mengetuai cabaran negara dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Shah Alam, Selangor bermula 15 hingga 20 Februari ini.

Tindakan Zii Jia yang sudah bergelar pemain profesional sudah tentu akan diperhatikan peminat badminton tanah air dan pastinya menjadi sandaran utama pasukan negara untuk memastikan sekurang-kurangnya satu mata berada dalam genggaman apabila beraksi di depan penyokong sendiri.

Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi restu kepada beliau untuk bergerak secara profesional selepas menghantar surat rayuan selepas mengubah keputusannya sebelum ini yang tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari lalu.

Hukuman penggantungan itu jika dikekalkan BAM menyaksikan Zii Jia bakal terlepas peluang beraksi dalam beberapa kejohanan di bawah Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) sekali gus menjejaskan kedudukan ranking ketujuh dunia yang dipertahankannya sejak November tahun lalu.

Turut kedengaran dakwaan kononnya Zii Jia mendapat tawaran lumayan melibatkan penajaan berjumlah RM4 juta bagi membiayai perjalanan profesional sekiranya dia meninggalkan BAM. Namun, berita itu tiada kesahihannya.

Zii Jia yang diasuh BAM sejak usia 13 tahun dilaporkan memberi alasan tidak tahan lagi dengan tekanan dihadapi dalam skuad kebangsaan selain gaya hidup yang ketat di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Selain itu, Zii Jia turut meletakkan syarat untuk kekal bersama BAM. Antaranya memiliki barisan kejurulatihan sendiri, merancang sendiri kejohanan yang bakal disertai serta memiliki penaja sendiri.

Sememangnya diakui pemain-pemain yang berada di bawah naungan BAM bertuah kerana segalanya disediakan dengan teratur baik dari segi elaun, makanan, kemudahan fasiliti dan latihan dan jurulatih. Bahkan penyertaan ke kejohanan-kejohanan juga diuruskan berbanding jika bergerak secara solo.

BAM perlu lebih selektif selepas ini dalam memilih kejohanan agar insiden kecederaan tidak berulang seperti dialami Zii Jia.

Contohi Jepun dan Denmark yang bijak dalam memilih kejohanan untuk disertai pemain masing-masing. Barisan kejurulatihan BAM boleh meningkatkan intensiti latihan supaya pemain kekal cergas tanpa perlu menyertai terlalu banyak kejohanan berturut-turut.

Dalam pada itu, perkembangan terbaharu itu bermakna Zii Jia mengikut jejak langkah pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen yang menjalani latihan secara profesional di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Seperti yang pernah diingatkan oleh legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, Zii Jia perlu membayar dengan harga cukup mahal jika ingin menjadi pemain terbaik dunia.

MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya