Israel arah tentera roboh rumah di Lubnan - Utusan Malaysia

Israel arah tentera roboh rumah di Lubnan

SEORANG lelaki memeriksa kawasan rumahnya yang musnah ketika penduduk pulang ke kampung Srifa, selatan Lubnan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel mengarahkan tenteranya menggunakan ‘kekuatan penuh’ terhadap sebarang ancaman di Lubnan walaupun gencatan senjata sedang berkuat kuasa selain berikrar merobohkan rumah yang didakwa digunakan Hizbollah.

Media kerajaan melaporkan, operasi perobohan turut dijalankan kelmarin. Sebahagian penduduk yang kehilangan tempat tinggal bergegas pulang ke rumah mereka di selatan Lubnan.

Namun, ramai yang masih ragu-ragu dan tidak pasti mengenai ketahanan gencatan senjata 10 hari yang mula berkuat kuasa pada Jumaat lalu, selepas beberapa minggu pertempuran antara Israel dan Hizbollah.

Sementara itu, di kampung Dibbine, wartawan AFP melihat seorang lelaki memeriksa kerosakan rumahnya, manakala penduduk lain berjalan di kawasan runtuhan bangunan yang musnah.

Penduduk di Srifa dilihat memunggah barangan rumah termasuk tilam dan mesin basuh ketika kembali ke kampung tersebut.

Bagaimanapun, di luar kawasan lain, ada juga penduduk yang dilihat meninggalkan selatan Lubnan selepas mengambil barangan dari kediaman mereka.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, beliau dan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengarahkan tentera bertindak dengan kekuatan penuh, di darat serta udara, termasuk semasa gencatan senjata bagi melindungi askar Israel di Lubnan daripada sebarang ancaman.

Beliau berkata, tentera juga diarahkan untuk merobohkan mana-mana struktur atau jalan yang dipercayai dipasang perangkap letupan dan menghapuskan rumah di kampung berhampiran sempadan yang menjadi pangkalan operasi Hizbollah.

Menurut National News Agency (NNA), tentera Israel masih memusnahkan baki rumah di Bint Jbeil pada Ahad, selepas melaporkan operasi perobohan sehari sebelumnya di bandar itu yang menyaksikan pertempuran sengit antara tentera dan Hizbollah sebelum gencatan senjata.

Ia  melaporkan tentera Israel meletupkan rumah di Mais al-Jabal dan menjalankan operasi pemeriksaan dan letupan di Deir Seryan, kedua-duanya berhampiran sempadan.

Dalam pada  itu, bandar Kunin turut menjadi sasaran tembakan artileri musuh.

Sabtu lalu, tentera Israel mewujudkan ‘Garis Kuning’ di selatan Lubnan, sama seperti di Gaza, yang memisahkan kawasan di bawah kawalan tentera Israel daripada kawasan yang dikuasai oleh kumpulan Hamas. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN