Calon Presiden FAM mesti tahan ‘tekanan’

Calon Presiden FAM mesti tahan ‘tekanan’

Mohd Yusoff Mahadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bukan sekadar kedudukan simbolik, sebaliknya satu amanah besar yang menuntut komitmen, visi jelas dan keberanian menghadapi tekanan tinggi.

Bekas Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan, mana-mana individu yang berhasrat menduduki kerusi No.1 itu tidak boleh mengambil pendekatan ‘cuba dan lihat’, sebaliknya perlu tampil dengan pelan menyeluruh serta kefahaman mendalam mengenai landskap bola sepak negara.

“Itulah realiti bola sepak moden, bukan sekadar mengenai jawatan, tetapi berkait kekuatan, jaringan dan keupayaan untuk menggerakkan seluruh sistem ke hadapan,” katanya.

Yusoff turut mengingatkan bahawa tidak semua tokoh korporat atau ahli politik yang berminat mampu bertahan dengan tekanan sebenar yang datang bersama jawatan tersebut.

Katanya, dari sudut korporat, cabaran utama bukan hanya pengurusan organisasi tetapi keupayaan membina hubungan strategik dengan kerajaan serta kementerian berkaitan, selain kesanggupan menanggung komitmen kewangan yang besar.

Beliau turut mempersoalkan keupayaan pihak tertentu untuk menjamin penajaan berterusan dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, sedangkan pembangunan bola sepak memerlukan dana yang konsisten dan berskala besar.

“Dalam era media sosial, ditambah pula dengan perkembangan teknologi seperti AI, kritikan dan tohmahan daripada netizen adalah satu norma baharu. Mana-mana individu yang terpilih sebagai Presiden FAM perlu mempunyai kekuatan mental yang tinggi, tidak mudah goyah dan tidak ‘koyak’ apabila berdepan tekanan berterusan.

“Jika dilihat dari sudut politik pula, ketidakstabilan landskap politik Malaysia turut menimbulkan risiko besar. Perubahan kerajaan boleh memberi kesan kepada kesinambungan dasar dan hala tuju organisasi sukan di peringkat tertinggi.

“Apabila kita bicara soal wang ringgit dalam bola sepak, semua orang boleh melontarkan idea. Tetapi hakikatnya, bola sepak moden membabitkan kos yang sangat besar dan berulang setiap tahun, jutaan ringgit diperlukan secara konsisten.

“Kita bukan negara Barat yang mempunyai ekosistem komersial seperti industri perjudian dan alkohol yang banyak menyokong bola sepak. Realitinya, kita memerlukan individu yang benar-benar berpengaruh serta mampu membuka ruang kewangan dan jaringan yang luas,”jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN