PETALING JAYA: Kejayaan skuad bawah 16 (B-16) negara menempah slot ke separuh akhir Kejuaraan ASEAN B-17 2026 wajar dianggap pencapaian membanggakan, dan kini pentas final menjadi misi seterusnya.
Peluang buat skuad muda negara kini terbuka luas untuk melangkah ke pentas final dan seterusnya mencipta sejarah tersendiri di kejohanan tersebut.
Ketua jurulatih skuad B-16 negara, Shukor Adan bagaimanapun menegaskan anak buahnya tidak boleh leka, sebaliknya perlu memberi sepenuh tumpuan terhadap aksi separuh akhir menentang Laos di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Rabu ini.
Beliau yang juga bekas pemain kebangsaan percaya barisan pemainnya memiliki motivasi tinggi serta semangat juang yang cukup untuk meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir.
“Selepas perlawanan dengan Timor-Leste saya juga bercakap dengan pemain, alang-alang kami sudah sampai ke separuh akhir, kami kena buat sehabis baik untuk melayakkan diri ke final.
“Apa yang penting sekarang ini adalah perlawanan menentang Laos. Kami pergi satu perlawanan ke satu perlawanan dan saya harap doa daripada penyokong bagi memberi semangat kepada pemain untuk melakukan tugas yang terbaik, seterusnya membawa Malaysia ke final,” katanya.
Malaysia mara ke kelompok empat terbaik selaku naib juara terbaik daripada tiga kumpulan selepas mengumpul enam mata dalam Kumpulan A, manakala Laos pula hadir dengan reputasi selaku juara Kumpulan B.
Pasukan Laos nyata bukan calang-calang apabila mengutip tujuh mata tanpa sebarang kekalahan, termasuk kemenangan mengejut 3-2 ke atas Thailand dalam aksi terakhir peringkat kumpulan yang mengesahkan kemaraan mereka.
Mengulas lanjut, Shukor mengakui beliau sudah meneliti kekuatan lawan dan memberi amaran awal kepada pemain agar tidak memandang rendah keupayaan Laos yang dilihat memiliki corak permainan berbahaya.
“Laos muncul juara Kumpulan B selepas mengejutkan Thailand dengan kemenangan 3-2. Pemain Laos mempunyai karakter serangan balas yang agak kuat, semangat berpasukan mereka juga tinggi dan siapa sangka pasukan ‘underdog’ seperti Laos berjaya melayakkan diri ke separuh akhir tanpa kekalahan.
“Saya sudah ingatkan kepada pemain, siapa sekalipun yang kita jumpa, kita tidak boleh pandang rendah sebab kita tahu, apa yang saya lihat daripada analisis video, Laos adalah satu pasukan yang memberi komitmen tinggi dalam padang.
“Jadi dalam masa dua hari ini kami cuba untuk membuat pendekatan taktikal bagi menentang pasukan Laos. Alhamdulillah buat masa ini tiada sebarang kecederaan yang serius dan juga tiada penggantungan dihadapi pemain,” jelasnya.-UTUSAN










