KUALA LUMPUR: Kejayaan beberapa penerjun melepasi angka 400 pada Ujian Penilaian Standard Kebangsaan masih belum mampu bersaing dengan standard di pentas Asia.
Walaupun melepasi angka 400 mata pada ujian tersebut, Pengarah Teknikal Terjun Kebangsaan, Yeoh Ken Nee berkata, standard pentas Asia masih berada pada tahap lebih tinggi.
Beliau menegaskan, pencapaian tersebut belum cukup untuk menjamin kedudukan podium apabila kebanyakan negara Asia kini sudah mencapai tahap sekitar 420 mata dalam pertandingan utama.
Menurutnya, peningkatan mendadak negara pesaing seperti Jepun, Korea Selatan dan Korea Utara menjadikan cabaran Malaysia semakin sukar menjelang Sukan Asia, September ini.
“Kalau kita tengok tahap Sukan Asia pun kena naik sampai 420 markah, jadi kita memang perlu tingkatkan lagi kualiti terjunan setiap individu.
“Kalau mereka tunjuk prestasi bagus pun, kalau juri tekan markah, kita tidak boleh buat apa-apa, jadi kita kena kurangkan kesilapan supaya tidak hilang banyak mata,” kata Ken Nee kepada pemberita selepas ujian di Pusat Akuatik Nasional, kelmarin.
Dalam masa sama, Ken Nee turut mengakui kekangan penyertaan dalam kejohanan antarabangsa menyukarkan penilaian sebenar tahap penerjun negara berbanding pesaing utama Asia.
Situasi itu memaksa skuad negara menggunakan penanda aras tempatan melalui Skor Kelayakan Minimum (MQS) sebagai asas pemilihan ke temasya sukan terbesar benua itu.
Katanya, tanpa pertembungan secara langsung dengan negara lain, sukar untuk membuat perbandingan tepat terutama dari segi ranking dan konsistensi prestasi.
“Kadang-kadang bila MOM (Majlis Olimpik Malaysia) tanya ranking Asia mereka, kita pun susah hendak ramal sebab kita tidak bertanding dalam kejohanan yang sama dengan mereka,” katanya.
Skuad terjun akan terbang ke Sarawak bulan depan bagi penilaian terakhir menerusi Kejohanan Antarabangsa Kumpulan Umur (MIAG) bagi menentukan lapan slot ke Sukan Asia yang berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun. – UTUSAN










