POLITIK di Perlis kembali bergolak, tercetus tidak sampai lima bulan krisis politik yang menyaksikan Pas kehilangan kerusi Menteri Besar di Perlis yang sehingga kini masih berbekas di hati enam wakil rakyat parti Islam itu khususnya Mohd. Shukri Ramli.
Isu penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang menghangatkan semula suhu politik di negeri ini telah membuka ruang dan tidak dilepaskan peluang oleh wakil rakyat Pas itu menekan dan mempersoal kepemimpinan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.
Di sebalik tekanan yang diberikan oleh wakil rakyat Pas itu, Abu Bakar tidak ‘melompat’, dan seperti biasa kekal sibuk dengan kerja-kerja pentadbiran negeri termasuk memenuhi undangan dan jemputan program-program.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu menjawab desakan wakil rakyat Pas tersebut dengan memaklumkan penangguhan sidang DUN Perlis itu adalah bagi membolehkan pentadbiran kerajaan negeri menyusun semula gerak kerja dan memperincikan kaedah agar ia berjalan dengan lebih sempurna.
Ia juga bagi membolehkan pihak kerajaan negeri membuat persediaan seterusnya memastikan perjalanan sidang DUN dapat berlangsung dengan lancar selewat-lewatnya sebelum 8 Jun ini.
Namun, apa yang lebih menjadi tumpuan adakah enam wakil rakyat Pas itu akan membuat usul undi tidak percaya kepada Abu Bakar dalam sidang DUN yang bakal berlangsung itu.
Sebelum ini, desas-desus itu kuat bertebaran namun kesemua wakil rakyat Pas itu telah menafikan cuba menjatuhkan Abu Bakar.
Abu Bakar pula dengan tegas menafikan bahawa penangguhan sidang DUN yang dijadual berlangsung pada 21 sehingga 23 April itu disebabkan beliau takut dijatuhkan.
Politik Pas dan Bersatu di Perlis ketika ini dilihat lebih bersifat taktikal. Dalam politik, taktikal siapa lebih baik, ia akan terus bertahan.
Jika Abu Bakar mempunyai taktikal lebih baik, dia mampu kekal bertahan sebagai Menteri Besar.
Begitu juga jika wakil rakyat dari Pas itu merancang taktikal untuk menjatuhkan Abu Bakar melalui usul undi tidak percaya.
Jika ia berlaku sekali pun, agak mustahil untuk Pas kembali menduduki kerusi Menteri Besar jadi bersedialah berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Melihat kepada situasi semasa dan sudah tidak lama bakal menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-16, agak mustahil untuk wakil rakyat dari Pas itu membuat usul undi tidak percaya.
Abu Bakar juga bukan calang-calang pemimpin yang mudah dijatuhkan. Sebagai orang lama dan survival dalam politik, Abu Bakar sudah tentunya mempunyai perancangan atau taktikalnya untuk terus bertahan sebagai Menteri Besar.
Selain itu, perkembangan terbaharu politik di Perlis itu juga memberi isyarat kuat bahawa hubungan Bersatu dan Pas di dalam Perikatan Nasional (PN) masih belum benar-benar pulih.
Walaupun kedua-dua parti tersebut masih bersama di dalam PN namun perkembangan semasa tersebut menunjukkan hubungan mereka kekal dingin, bersifat taktikal dan sudah hilang kepercayaan sesama sendiri.
Jika tidak dipulihkan, PN bakal berdepan laluan sukar mempertahankan Perlis dalam PRU16.
Kepercayaan dan keikhlasan penting dalam sesuatu hubungan. Bagi memastikan PN benar-benar kukuh, pulihkan semula kepercayaan dan keikhlasan itu. Jangan di mulut sahaja beretorik PN kekal stabil namun hakikat sebaliknya.-UTUSAN.










