Berdakwahlah melalui media sosial

Berdakwahlah melalui media sosial

media sosial
GOLONGAN agamawan perlu turut aktif dalam media sosial. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGGUNAAN media sosial kini menjadi satu keperluan dalam kalangan masyarakat. Malah, mereka yang tiada akaun media sosial dianggap ketinggalan dan tidak selari dengan perkembangan semasa.

Masakan tidak, apabila hampir semua maklumat dan aktiviti harian boleh didapati daripada mana-mana aplikasi media sosial.

Menurut Laporan Digital 2021, setakat Januari tahun ini, pengguna aktif medium di Malaysia mencecah 28 juta iaitu 86 peratus daripada populasi seluruh negara.

Akaun media sosial kini menjadi satu bentuk harta intelek bernilai, maka tidak hairanlah pemiliknya bersungguh-sungguh menaikkan jumlah pengikut dengan menghasilkan kandungan yang dimuat naik dan dikongsikan seperti di Instagram, TikTok mahupun Facebook.

Penjualan dan pembelian pengikut di aplikasi media sosial kini berlaku di mana-mana. Seseorang dianggap berpengaruh dan mempunyai kelebihan dengan melihat jumlah pengikutnya di media sosial.

Sekiranya apa yang disampaikan oleh pempengaruh penuh dengan pengisian bermakna dan bermanfaat kepada masyarakat, maka wajar dijadikan contoh.

Namun, sekiranya membawa mesej tidak tepat sehingga mempengaruhi ramai orang ke arah sesuatu yang tidak baik, sudah pasti bahana baharu menunggu.

INTERAKSI

Satu bentuk perlumbaan di alam maya ini membawa kepada keghairahan sehingga ada dalam kalangan mereka hilang pertimbangan kemanusiaan dan moral demi menghasilkan kandungan yang dianggap kreatif, segera tular dan meraih populariti dengan cara pantas.

Adakah ini satu cabang kemajuan yang sihat kepada generasi muda? Dalam pada itu, adalah perlu golongan agamawan untuk turut aktif di pelantar media sosial kerana ia wadah terbaik untuk berdakwah dan menyebarkan kebaikan.

Satu perkembangan yang cukup positif dan baik apabila banyak institusi rumah-rumah ibadat mula mewujudkan page yang dapat menyalurkan maklumat dan membolehkan interaksi dua hala antara pihak pengurusan dan anggota masyarakat.

Hari ini, kita boleh lihat ramai figura penting mula berjinak-jinak dan bergiat aktif menggunakan media sosial bagi mendekati golongan sasaran.

Maklumat, aduan dan maklum balas dapat disampaikan terus tanpa perlu kerenah birokrasi yang memenatkan sejak sekian lama.

Selain itu, para politikus misalnya, begitu aktif menulis dan mencambahkan buah fikiran dan pendapat mereka dalam mengkritik ataupun menyalurkan cadangan membina di samping tidak kurang yang dilihat mencuba meraih sokongan dan pengaruh dalam kalangan masyarakat.

Fungsi dan peranan media sosial tidak boleh disangkal dan diketepikan di era Revolusi Perindustrian 4.0 ini kerana segala-galanya di hujung jari.

Terma fenomena Global Village yang diperkenalkan oleh ahli falsafah Kanada, Marshall McLuhan sememangya sebuah realiti yang jelas.

Terpulang kepada kita sebagai pengguna untuk memanfaatkan segala kemudahan dan kecanggihan teknologi ini ke arah memimpin sebuah Keluarga Malaysia bertamadun dan mengamalkan nilai dan budaya yang sentiasa dijunjung seiring ketinggian adab kita sebagai orang Timur. – UTUSAN

AHMAD ALIF AMRI AHMAD KAWAZI & JESSICA ONG HAI LIAW, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya