UMNO perlu mula langkah ‘jantan’ - Utusan Malaysia

UMNO perlu mula langkah ‘jantan’

MAJORITI pengikut Pas menolak kerjasama parti itu dengan Bersatu. –GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengingatkan pimpinan parti itu di peringkat negeri agar berpegang kepada amanat Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menetapkan pendirian memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Kenyataan itu dibuat menjelang pertemuan yang bakal berlangsung antara Pas Kelantan dan UMNO negeri itu pada 22 Januari ini.

Pertemuan dijangka tidak mencapai sebarang kata putus kerana UMNO Kelantan telah menegaskan tidak mahu menjalinkan kerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti sekiranya parti itu kekal bersama PN yang turut disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagi saya, setelah begitu lama Pas berdolak-dalik dalam isu MN, dirasakan wajar UMNO mengambil langkah ‘jantan’ yang lebih konkrit dalam isu tersebut termasuk menghentikan kerjasama politik dengan parti itu.

UMNO perlu sedar, mereka tidak boleh berterusan memikul dan mengheret beban yang tidak patut ini ke dalam PRU15.

Paling utama, beban itu tidak harus diheret ke dalam kerajaan yang bakal ditubuhkan selepas PRU15 seandainya diberi mandat untuk menjadi kerajaan atas jenama MN.

Walaupun disedari kepentingan Pas untuk bersama UMNO pada PRU15 dalam mencongak majoriti kerusi lebih meyakinkan, UMNO perlu juga memberi pertimbangan dalam soal kestabilan kerajaan yang dibentuk pasca-PRU15.

UMNO perlu sedar, dengan memiliki rakan politik yang sejak dari awal sentiasa memilih untuk berbeza dan bercanggah dalam banyak perkara akan mewujudkan kerajaan yang lemah.

Ditambah sikap yang tidak segan silu, kepimpinan Pas memberikan mesej yang boleh dianggap sebagai berbaur ugutan kepada UMNO, kerajaan yang dibentuk kelak itu pasti tidak jauh berbeza juga dengan kerajaan-kerajaan pasca-PRU14 sebelum ini.

Matlamat UMNO untuk membela kebajikan rakyat dengan cara mereka sendiri di samping membentuk kerajaan lebih stabil pasti tidak kesampaian, selain jenama UMNO itu sendiri pula yang kian rosak di mata rakyat.

Kemenangan pada PRU15 yang diperoleh UMNO tanpa Pas mungkin lebih kecil, namun kerajaan yang dibentuk kemungkinan lebih stabil, mapan dan bermakna.

UMNO juga sebenarnya tidak perlu begitu gusar dalam soal kehilangan sokongan undi daripada Pas kerana pemerhatian lapangan sememangnya menunjukkan majoriti pengikut Pas sebenarnya cenderung untuk menolak kerjasama parti itu dengan Bersatu.

Apa yang perlu dibuat hari ini adalah untuk UMNO membentuk satu unit di bawah partinya sendiri yang akan mengangkat, mendedikasi dan menjadikan lebih kuat suara penyokong Pas anti-Bersatu itu.

Sewaktu itu, Pas pasti akan lebih memahami makna sensitiviti dalam hubungan rakan parti lain, seperti mana yang gagal diterjemahkan pendirian mereka dalam hubungan UMNO-Bersatu selama ini, iaitu kononnya atas nama perpaduan Melayu.

Waktu itu, sekiranya UMNO ‘merampas’ undi daripada penyokong bahkan ahli Pas pun, kita yakin Pas pasti akan lebih terbuka menerima tindakan UMNO atas nama keutamaan perpaduan ummah.

Maklumlah, apa sangatlah agenda parti sekiranya dibandingkan dengan agenda kekuatan ummah!

ALCMAEON AENES, Bangsar, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN