PETALING JAYA: Keputusan terhadap tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah akan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mendengar terlebih dahulu pandangan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang sebelum membuat sebarang keputusan.
“Saya sudah panggil mesyuarat esok (hari ini. Kita dengar dulu penjelasan Peguam Negara, hendak rayu atau tidak, tunggu esok. Bagi saya, kalau tidak rayu pun tidak mengapa.
“Tetapi keputusan muktamad akan dibuat selepas kita dengar dan bincang bersama semua ahli Jemaah Menteri,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Malaysia Digital, di Tawau, Sabah, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kelmarin.
Ewon membuat keputusan itu kerana tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Persekutuan mahu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengesahkan hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip dari negeri itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, terdapat kekangan dalam isu tuntutan tersebut namun berharap semua pihak memahami situasi berkenaan.
“Soalnya, mahkamah arah untuk runding. Saya kata baik, kita akan runding. Tetapi hari ini hendak runding dengan siapa? Kerana kerajaan sekarang hanyalah kerajaan sementara (caretaker government).
“Tunggu pilihan raya, selepas kerajaan baharu dibentuk, saya akan arahkan rundingan dimulakan segera,” katanya.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid yang menyifatkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sebagai ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional’ serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Kes itu tertumpu kepada tafsiran Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 112C menyentuh geran khas serta agihan hasil kepada Sabah dan Sarawak, manakala Perkara 112D menetapkan semakan berkala terhadap geran itu.
Sementara itu, mengenai kemungkinan rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Ewon, Anwar berkata, perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Rombakan Kabinet tidak dibincangkan. Fokus kami sekarang ialah memuktamadkan soal sama ada akan merayu atau tidak, dan kita akan selesaikan esok (hari ini),” jelasnya.
Semalam, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan satu taklimat khas Kabinet mungkin diadakan esok bagi membincangkan hal berkaitan rombakan Kabinet.
Spekulasi mengenai rombakan Kabinet dalam masa terdekat muncul berikutan beberapa kekosongan jawatan menteri yang masih belum diisi setakat ini.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut mengulas rayuan penduduk Felda Umas di Tawau agar kerajaan campur tangan dalam isu tuntutan lot tanah untuk generasi kedua.
“Ya, perkara itu sudah sampai ke pejabat saya dan kita akan lihat dulu ulasannya. Saya minta mereka bersabar, biar kita teliti dan bincang dengan baik,” katanya sambil menegaskan kerajaan memperuntukkan RM1 bilion setahun bagi membantu penyelesaian hutang Felda. – UTUSAN










