Bergelut untuk menyara kehidupan harian, ditambah pula dengan kos ambulans swasta yang mencecah sehingga RM600 untuk satu perjalanan, menjadikan ramai pesakit terlantar di beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang memilih untuk menerima sahaja ketentuan takdir.
Berikutan pergerakan pesakit yang terbatas, kos pengangkutan dilihat menjadi penghalang utama untuk mereka mendapatkan rawatan berkala. Itu belum lagi soal makanan tambahan atau susu khas dan kos peralatan dan ubat yang melebihi RM1,000 setiap bulan.
Ini antara intipati dalam laporan Mingguan Malaysia kelmarin, yang berkisar tentang kehidupan warga PPR yang sakit dan terhimpit dengan pelbagai kepayahan.
Menurut laporan tersebut, walaupun ada bantuan daripada Baitulmal, pencen ilat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta bantuan daripada beberapa badan bukan kerajaan, semua itu masih tidak mencukupi ekoran kos sara hidup yang semakin tinggi.
Mungkinkah ini antara masalah yang dihadapi oleh sebahagian rakyat tetapi kerajaan terlepas pandang? Atau adakah kegagalan kepimpinan setempat atau wakil rakyat di kawasan terbabit mengesan perkara itu menyebabkan masalah tersebut tidak berkesudahan?
Ada cadangan supaya kerajaan menempatkan sebuah ambulans di setiap PPR untuk memudahkan penghuni yang sakit ke hospital tetapi perlukah sampai ke tahap itu. Kos sebuah ambulans tidak murah, malah hospital dan klinik kerajaan pun ada yang dikatakan tidak cukup ambulans kerana banyak yang rosak.
Kalau pun ada NGO atau syarikat swasta yang sudi memberikan sumbangan, ada pula kos tambahan yang diperlukan seperti kos pemandu dan paramedik. Ambulans bukan van jenazah yang boleh dipandu oleh imam atau bilal surau atau sesiapa sahaja.
Sebenarnya, ini lebih kepada soal pengurusan. Kalaulah kepimpinan setempat seperti persatuan penduduk betul-betul prihatin, mereka boleh membuat siasatan dan bancian untuk mengetahui jumlah penduduk yang memerlukan bantuan pengangkutan dan rawatan.
Dari situ, boleh mereka dapatkan bantuan pengangkutan sama ada menerusi wakil rakyat, NGO atau hospital berdekatan. Mereka cuma perlu aturkan jadual penghantaran ke hospital kerana pesakit yang terlibat bukannya perlu di klinik atau hospital setiap hari.
Dalam soal ini, Baitulmal juga boleh memainkan peranan dengan menyediakan ambulans atau pengangkutan yang diperlukan sebagai sebahagian daripada bantuan yang diberikan setiap bulan dengan tumpuan diberikan kepada penghuni PPR atau perumahan awam yang miskin.
Dengan pungutan zakat di Selangor dan Wilayah Persekutuan yang masing-masing melebihi RM1 bilion setahun, mengagihkan sebahagian pungutan untuk menyediakan kemudahan ini sudah tentu tidak menjadi masalah yang besar.
Malah, Baitulmal juga boleh menyediakan pasukan perubatan sendiri untuk menziarahi pesakit-pesakit ini secara berkala supaya mereka mendapat khidmat perubatan yang lebih baik tanpa perlu meninggalkan rumah masing-masing.
Langkah itu, jika dilaksanakan, boleh menjadi nilai tambah kepada usaha kerajaan Selangor yang melancarkan Ambulans Kita Selangor (AKS) iaitu inisiatif perkhidmatan mobiliti kesihatan secara percuma kepada penduduk di lima pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.
Selangor hanya membelanjakan RM1 juta untuk menyediakan 48 ambulans bagi memastikan perkhidmatan dan akses kepada rawatan kecemasan lebih cepat dan mudah kepada golongan sasar.
Sebenarnya, negara kita ini ada banyak bantuan untuk golongan susah. Cuma ia tidak diselaraskan. Akibatnya, ada bantuan yang tidak sampai atau tersasar. – UTUSAN
Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia
Bantuan banyak tetapi tidak diselaras…

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved