Kerajaan tak tegas kawal harga barang? - Utusan Malaysia

Kerajaan tak tegas kawal harga barang?

PENGGUNA semakin tertekan disebabkan kenaikan harga secara melampau oleh peniaga ketika ini. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, 

HARGA barangan terutama barang kawalan atau barang dapur seperti daging, sayuran dan rempah ratus sering kali naik terutama menjelang musim perayaan. Disebabkan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memperkenalkan pelbagai kaedah seperti Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM), Harga Patut dan sebagainya untuk mengawal dan mengekang kenaikan harga selain mendenda peniaga yang mengambil kesempatan menjual pada harga terlalu tinggi di bawah Akta Pencatutan.

Kita dapati kaedah ini dapat mengawal hanya kenaikan harga pada waktu sementara seperti SHMKM yang akan tamat pada 4 Februari nanti. Selepas tarikh itu, rakyat diminta memahami serta menerima sebarang kenaikan harga dengan pelbagai alasan.

Tindakan tersebut tidak wajar ketika majoriti rakyat masih dihimpit kesengsaraan hidup akibat penularan pandemik Covid-19. Masih ramai yang hilang pekerjaan dan ditimpa dugaan apabila harta benda rosak akibat banjir besar baru-baru ini.

Sebaliknya kerajaan disaran melanjutkan lagi tempoh SHMKM atau memperkenalkan kaedah pengawalan harga yang menyeluruh dan seterusnya menstabilkan harga terutama barang dapur. 

Terbuktilah kata-kata penjual sebelum ini tentang beberapa barang atau perkhidmatan akan naik pada tahun depan (tahun ini) seperti tayar, servis kenderaan dan barang basah.

Pada masa sama, kerajaan tidak boleh berdiam dalam situasi ini sebaliknya harus turun padang dan berjumpa peniaga untuk mendapatkan maklumat tentang kenaikan harga di pasaran. Jangan terima bulat-bulat alasan mereka yang menyerap kerugian semasa pandemik untuk menaikan harga. Ia tidak masuk akal sedangkan mereka naikkan harga  hampir 50 peratus sementara barangan berkaitan kenderaan pula naik antara 100 hingga 200 peratus pada tahun ini.

Sedar atau tidak, tindakan peniaga itu memberi tekanan kepada pengguna. Jadi, lebih baik kerajaan memperkenalkan skim kawalan harga bersasar dan menyeluruh kepada semua barangan pengguna. Ini kerana kita tidak mahu terjadinya kenaikan barangan secara mega sekali gus menjejaskan pengguna terutama golongan B40 dan ke bawah.

Kerajaan perlu bertindak lebih tegas dan bijaksana dalam membantu rakyat menghadapi kenaikan harga mega ketika ini. Jadilah kerajaan yang baik dan tidak gagal dalam menjadi juara menentukan harga minimum.

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya