Jangan makan harta batil - Utusan Malaysia

Jangan makan harta batil

ORANG ramai diminta berwaspada dalam skim pelaburan secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.– GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENURUT Polis Diraja Malaysia (PDRM), hampir 50,000 aduan penipuan perniagaan dan pelaburan dalam talian dilaporkan dari 2019 hingga September lalu sementara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyekat 97 laman web yang menawarkan skim pelaburan mencurigakan atau menipu.

Syariah Islam meletakkan beberapa syarat dan panduan berkaitan transaksi dan pelaburan dalam perniagaan. Antaranya subjek jualan tersebut hendaklah jelas dari sudut spesifikasi sebelum sesebuah kontrak dimeterai. Pelabur atau pelanggan sewajarnya memastikan terlebih dahulu jenis perniagaan diceburi oleh skim disertainya.

Sebagaimana amalan dalam sesebuah platform saham patuh syariah, maklumat syarikat berserta maklumat terperinci mengenai jenis perniagaan yang dijalankan disertakan. Tidak cukup itu, ia juga disahkan oleh pihak autoriti. Sebagai contoh, SSM mengenal pasti status syariah sesuatu pelaburan berpandukan tanda aras disediakan.

Pilihan diberikan kepada pelanggan untuk membatalkan akad sekiranya berlaku pertentangan spesifikasi barang, kerosakan atau penipuan harga bagi menjaga dan memelihara hak pengguna.

Meraikan prinsip ketelusan dan saling percaya mempercayai dalam transaksi, menjual perkara yang belum wujud dan perkara belum dimiliki tidak diharuskan. Hal ini boleh berlaku dalam perniagaan dalam talian yang menawarkan produk tidak wujud. Peluang untuk memanipulasi akan lebih terserlah apabila pelanggan mula mempercayai dan membayar penuh sedangkan produk tersebut sebenarnya tidak wujud.

Perkara ini mungkin boleh diselesaikan dengan bantuan aplikasi moden seperti sistem blok rantai bagi mengesahkan sesuatu transaksi dapat dilaksanakan mengikut prinsip syarak yang tepat. Selain itu, peranan pihak berkuasa dalam mendidik masyarakat, menjaga kepentingan dan keselamatan harta menerusi undang-undang sewajarnya.

Kezaliman dan penipuan berlaku apabila memperoleh keuntungan yang lebih tetapi jumlah dikongsikan bukanlah daripada pelaburan sebaliknya wang lain sebagai pengabur mata pelabur untuk meyakinkan lagi mereka untuk menambah jumlah pelaburan.

Jaminan perlindungan modal yang biasanya dijanjikan kepada pelanggan adalah perkara yang bertentangan dengan syarak. Menjamin modal tidak akan berkurangan jelas menafikan semangat untung dan rugi bersama yang menjadi prinsip dasar sesebuah pelaburan. Ia juga jelas menafikan kaedah keuntungan perniagaan al-Kharraj bi al-Doman yang membawa maksud sesuatu keuntungan hendaklah datang daripada tindakan mengambil risiko dan bukanlah pelaburan zon selesa dengan modal yang dijamin tidak akan berkurangan.

Pelaburan atau perniagaan yang mengaut keuntungan tanpa berhadapan risiko adalah mencurigakan. Oleh kerana risiko sentiasa ada, sesuatu perniagaan tidak mudah menjanjikan keuntungan apatah lagi yang tetap dan tinggi kepada pelanggan.

Justeru, mengabaikan panduan hukum boleh mendedahkan kepada risiko ketidakpatuhan syariah yang boleh membawa kepada memakan harta dengan cara yang batil.
Sebagai umat Islam, kita perlu sentiasa peka dengan perkara ini bagi menjamin kesahan segala transaksi serta dikurniakan keberkatan dalam harta.

DR. MOHD. SHAHID MOHD. NOH, Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya