PETALING JAYA: Kerajaan disaran meneliti semula syarat kelayakan penerima bantuan BUDI Diesel yang ketika ini dihadkan kepada individu berpendapatan RM100,000 ke bawah bagi memastikan bantuan lebih bersasar dan inklusif.
Naib Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi berkata, terdapat kelompok rakyat yang walaupun melepasi had pendapatan tersebut, masih berdepan tekanan kos sara hidup yang tinggi, khususnya mereka yang mempunyai tanggungan keluarga besar serta komitmen kewangan yang signifikan.
“Dalam situasi kenaikan harga diesel yang mencecah RM6.72 kelonggaran wajar dipertimbangkan sepanjang tempoh krisis ini.
“Selain itu, kerajaan perlu juga diteliti kemungkinan memperluas skop subsidi diesel kepada sektor-sektor lain yang turut terkesan secara langsung.
“Terdapat juga maklum balas bahawa ada beberapa pemohon masih belum menerima keputusan walaupun telah lama memohon,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Nabil menyarankan penambahbaikan terhadap proses permohonan dan kelulusan agar bantuan dapat disalurkan dengan lebih cekap serta tepat pada masanya kepada rakyat yang layak.
“Di tengah ketidaktentuan ekonomi, pendekatan Kerajaan MADANI memberi keyakinan bahawa negara ini diurus dengan penuh tanggungjawab. Dasar fiskal yang tersusun, bantuan yang bersasar dan nilai ihsan diangkat menjadi asas kekuatan kita menghadapi cabaran semasa,” katanya. – UTUSAN










