Harap rakyat marhaen dapat memiliki rumah - Utusan Malaysia

Harap rakyat marhaen dapat memiliki rumah

PEMBANGUNAN yang tidak seimbang antara kawasan perumahan baharu dengan jumlah sekolah menjadi punca kesesakan di sekolah. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

INTI pati Bajet 2022 yang dibentangkan Oktober lalu antara lain memfokuskan perancangan kerajaan untuk merancakkan semula sektor hartanah yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sejak Mac 2020.

Banyak projek pembangunan terbengkalai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan melumpuhkan industri ini apabila ramai pekerja di sektor pembinaan dijangkiti wabak berkenaan.

Selain itu, kadar kehilangan pekerjaan dan tahap pengangguran yang tinggi mengakibatkan golongan B40 dan M40 berdepan masalah kewangan, sekali gus menyebabkan banyak tunggakan pinjaman perlu diselesaikan dengan bank.

Penawaran pemberian penangguhan bayaran pinjaman oleh institusi perbankan secara moratorium hanya bersifat sementara dan tidak dapat membantu masyarakat mengatasi masalah kewangan dihadapi.

Justeru, masyarakat mula sedar untuk bertahan dalam keadaan yang serba mencabar, mereka tiada pilihan dan terpaksa mengambil keputusan drastik dengan menjual rumah bagi memastikan beban kewangan keluarga dapat diminimumkan untuk kelangsungan hidup.

Keprihatinan yang ditunjukkan oleh kerajaan dapat dilihat melalui inisiatif pengecualian bayaran Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) kepada keuntungan yang diperoleh hasil pelupusan hartanah oleh individu warganegara, pemastautin tetap dan syarikat bagi tempoh pegangan enam tahun ke atas.

Inisiatif ini dilihat sangat membantu golongan terjejas bagi mendapatkan keuntungan maksimum tanpa dikenakan cukai sebagaimana amalan sebelum ini bagi penjualan hartanah.

Wang yang diperoleh hasil daripada penjualan hartanah secara tidak langsung dapat digunakan bagi menampung keperluan kehidupan seharian sehingga keadaan ekonomi kembali pulih seperti sediakala.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan jaminan sehingga RM2 bilion kepada bank melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan bagi memberi akses pembiayaan kepada golongan yang sukar mendapatkan pinjaman dan mempunyai keupayaan untuk membayar balik pinjaman tetapi tiada bukti pendapatan tetap untuk membeli rumah.

Inisiatif ini dilihat dapat memberi peluang kepada masyarakat berpendapatan rendah memiliki rumah dengan lebih mudah.

Tambahan juga, bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi meneruskan projek perumahan untuk golongan berpendapatan rendah.

Semoga peruntukan ini dapat direalisasikan melalui pelaksanaan dan pengagihan disasarkan kepada penerima sebenar dan kesejahteraan masyarakat berpendapatan rendah akan lebih terjamin pada masa hadapan.

DR. SITI HAFSAH ZULKARNAIN, Pensyarah Kanan Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, UiTM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya