Maut lombong emas: Bapa tidak tahu anak masuk hutan lombong emas

Maut lombong emas: Bapa tidak tahu anak masuk hutan lombong emas

NUR Illyanis Suhaisham menunjukkan gambar abangnya ditemukan maut tertimbus ketika melombong emas di Jerimbong, Kuala Balah semasa di Unit Forensik Hospital Jeli, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Bapa kepada Mohamad Noor Illyas Suhaisham, 32, yang ditemukan mati tertimbus ketika sedang melombong emas di kawasan ladang sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah di sini, semalam tidak mengetahui anaknya masuk ke hutan untuk tujuan berkenaan.

Suhaisham Mohd. Salleh, 56, berkata, hal ini kerana anaknya bekerja sendiri dan melakukan pelbagai pekerjaan untuk mencari pendapatan.

Katanya, sejak menerima panggilan berhubung kejadian itu dia mengakui masih lagi terkejut kerana cukup rapat dengan arwah.

“Saya dengan dia cukup rapat. Setiap kali Mohamad Noor Illyas keluar dan balik lewat saya tunggu.

“Namun, sudah dua hari dia tidak pulang, tiba-tiba saya dapat Mohamad Noor Illyas sudah meninggal dunia. Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah dua hari lalu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jeli di sini hari ini.

Sementara itu adiknya, Nur Illyanis, 29, memberitahu dia sempat menghantar pesanan kepada abangnya semalam namun tidak dibalas.

Katanya, dia hanya mengetahui khabar duka menimpa abang sulungnya itu selepas dimaklumkan oleh ayah.

“Sebelum itu kami ada berhubung, abang minta tolong uruskan kenderaan untuk bawa motosikalnya pulang ke rumah. Abang juga ada minta saya carikan ketupat pulut hitam untuk dimakan pada Aidiladha ini,” ujarnya.

Terdahulu, dua lelaki dilaporkan maut tertimbus di dalam lubang yang digali mereka dipercayai untuk melombong emas di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong.

Seorang lagi mangsa terselamat dalam kejadian pukul 8.20 malam itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN