RIYADH: Kelab gergasi Liga Pro Saudi, Al-Nassr dilaporkan berdepan krisis kewangan apabila masalah aliran tunai menyebabkan pembayaran gaji pemain tertangguh selain memaksa semua urusan perpindahan pemain dihentikan buat sementara waktu.
Menurut laporan media tempatan, Al-Riyadiyah, beberapa pemain skuad utama hanya menerima sebahagian daripada gaji bagi bulan Jun, manakala baki bayaran masih belum dijelaskan susulan kekangan kecairan kewangan yang melanda kelab itu.
Perkembangan berkenaan mencetuskan kebimbangan menjelang saingan musim baharu, terutama selepas Al-Nassr berbelanja besar dalam usaha membina pasukan bertaraf bintang sejak membawa masuk Cristiano Ronaldo pada penghujung 2022.
Kesan paling ketara daripada kemelut itu menyaksikan rancangan memperkukuhkan skuad terpaksa ditangguhkan apabila pihak pengurusan gagal meneruskan rundingan untuk mendapatkan pemain import baharu.
Al-Nassr sebelum ini merancang mencari pengganti kepada pemain tengah Croatia, Marcelo Brozovic yang disahkan meninggalkan kelab minggu lalu, namun usaha itu kini tergendala akibat kekangan kewangan.
Posisi tengah dikenal pasti sebagai keutamaan oleh barisan kejurulatihan bagi menghadapi musim baharu, namun sebarang langkah memperkukuhkan pasukan hanya boleh diteruskan selepas kedudukan kewangan kelab kembali stabil.
Situasi itu menjadi cabaran awal buat pengendali baharu, Ange Postecoglou yang kini perlu mengharungi musim dengan ketidaktentuan dalam aspek pembentukan skuad.
Bekas pengurus Tottenham Hotspur itu dijangka mengemudi Al-Nassr dalam empat kejohanan musim ini membabitkan Liga Pro Saudi, Piala Raja, Piala Super Saudi dan Liga Juara-Juara Asia Elit, sekali gus berdepan tekanan untuk memastikan kelab kekal kompetitif meskipun dibelenggu masalah kewangan.-AGENSI










