Kane nafi kem England bergolak

Kane nafi kem England bergolak

HARRY Kane-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kapten England, Harry Kane menegaskan tiada sebarang perpecahan dalam kem The Three Lions, sebaliknya semangat kebersamaan menjadi kunci utama kejayaan pasukan mara ke separuh akhir Piala Dunia 2026.

Spekulasi mengenai hubungan dingin dalam skuad tercetus selepas Jude Bellingham dilihat membalas kenyataan pengendali, Thomas Tuchel yang mengkritik persembahan England meskipun menang 2-1 ke atas Norway selepas masa tambahan pada aksi suku akhir di Miami.

Bellingham yang muncul wira dengan dua gol kemenangan mempertahankan rakan sepasukannya apabila menyifatkan Tuchel tidak memahami sepenuhnya cabaran beraksi dalam cuaca panas melampau, sekali gus mencetuskan andaian wujud ketegangan antara pemain dan jurulatih.

Namun, Kane menolak tanggapan itu sambil menegaskan kenyataan Bellingham dibuat dalam keadaan emosi sejurus tamat perlawanan dan tidak wajar dijadikan bukti berlaku keretakan dalam pasukan.

“Selepas perlawanan yang begitu mencabar, kemudian ditanya beberapa minit selepas wisel penamat, Jude sendiri tidak benar-benar tahu apa yang diperkatakan jurulatih. Jadi, apa yang anda harapkan dia jawab?

“Kami baru selesai mengharungi satu perlawanan yang sangat sukar. Mudah untuk orang luar mencipta persepsi kononnya berlaku perpecahan. Hakikatnya, kami berada di separuh akhir kerana semangat kebersamaan dalam kalangan pemain, jurulatih dan seluruh kakitangan,” katanya.

Penyerang Bayern Munich itu berkata, isu dalaman England sering diperbesarkan setiap kali mereka beraksi di pentas utama, sedangkan hubungan antara pemain dan barisan kejurulatihan berada dalam keadaan cukup baik.

Pada masa sama, Kane menyifatkan pendekatan terus terang Tuchel sebagai antara kekuatan pengendali dari Jerman itu, selain percaya kritikan yang diberikan bertujuan meningkatkan prestasi pasukan, bukannya menjatuhkan keyakinan pemain.

“Sebagai pemain, kami sendiri tahu bila kami bermain baik atau sebaliknya. Kami faham apa yang dimaksudkan jurulatih. Malah dia turut memuji mentaliti pasukan yang disifatkannya berada pada tahap tertinggi sejak sekian lama.

“Dia seorang yang jujur dan tidak bercakap mengikut skrip. Itulah yang membuatkan pemain percaya kepada kepimpinan serta pendekatannya. Dia antara jurulatih terbaik dunia dan kami semakin memahami apa yang diinginkannya,” ujar Kane.

England kini bersiap sedia menghadapi cabaran lebih getir apabila dijadual bertemu juara bertahan, Argentina pada aksi separuh akhir awal pagi Khamis ini, dengan kedua-dua pasukan memburu tiket ke pentas final Piala Dunia 2026.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN