Kenakan tindakan terhadap Tony, langgar ‘garis merah’ negara- Fathul Bari - Utusan Malaysia

Kenakan tindakan terhadap Tony, langgar ‘garis merah’ negara- Fathul Bari

FATHUL BARI MAT JAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua yang mendakwa kuasa raja terhad jelas menyentuh prinsip 3R (agama, raja, dan kaum) yang selama ini dipersetujui sebagai garis merah dalam negara.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya menegaskan tindakan terhadap pemimpin DAP itu perlu segera diambil sebagaimana rakyat biasa lain apabila menyentuh 3R.

Beliau juga menegaskan agar tidak ada ‘double standard’ atau pilih kasih dalam isu tersebut.

“Kalau rakyat biasa boleh diambil tindakan apabila menyentuh isu 3R, maka prinsip yang sama mesti terpakai kepada semua. Jangan ada ‘double standard’.

“Kalau masih ada yang tidak faham maksud sebenar kenyataan itu (Tony Pua) sama ada terlalu naif atau sengaja mempertahankan kebiadaban,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menitahkan wakil rakyat Selangor khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor bagi menghayati makna sebenar Rukun Negara.

Mengulas mengenai titah tersebut, Tony menerusi hantaran di Facebooknya didakwa berkata, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tony turut didakwa menyatakan rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem yang membolehkan raja mengeluarkan titah yang mengikat serta menggubal semua aspek kehidupan rakyat.

Kata Tony, beliau akan setia kepada Raja dan Negara serta mematuhi Kedaulatan Undang-Undang berasaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan bukan berdasarkan titah semata-mata.

Fathul Bari berkata, corak dan strategi politik DAP sebenarnya sudah boleh diduga kerana mereka tahu bahawa setiap kali isu sensitif berkaitan Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu disentuh secara sinis atau provokatif, akan wujud kelompok tertentu yang bersorak dan mengangkat pemimpinnya sebagai ‘berani’.

Kata Ketua UMNO Bahagian Kangar itu, disebabkan itu, kenyataan Tony bukan perkara baharu dan ia pola politik lama mereka.

“Sentuh institusi raja, abaikan sensitiviti Melayu dan Islam, mainkan isu identiti negara dan kemudian tampil kononnya sebagai pejuang ‘demokrasi’ dan ‘kebebasan’.

“Tony jangan cuba berselindung di sebalik istilah Raja Berperlembagaan untuk menghalalkan sikap kurang ajar terhadap titah Tuanku. Ya Malaysia negara yang ada Perlembagaan, Ya, kuasa raja ada kerangka dan batasnya tetapi jangan sampai terlalu angkuh sehingga gagal memahami nilai adab dan budaya yang menjadi asas pembinaan negara ini.

“Hakikatnya, Malaysia dibina atas semangat keseimbangan iaitu Raja Melayu dihormati, Islam dipelihara, hak kaum lain dijamin dan perpaduan dijaga bersama. Tetapi apabila masih ada pemimpin DAP yang gemar menyentuh perkara sensitif melibatkan raja-raja Melayu, inilah yang menyebabkan ramai rakyat sukar menerima DAP hingga hari ini.

“Ia Bukan sebab kaum atau bangsa, tetapi sebab sikap cauvinis, penting diri dan politik provokasi yang masih gagal dibuang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN