KANGAR: Parti Bersama Malaysia (Bersama) berpotensi menjadi ‘spoiler’ atau mengganggu serta memecahkan undi Pakatan Harapan (PH) terutama di kawasan bandar.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamad Faizal Abd Matalib berkata,parti baharu diambil alih Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad itu mampu merebut peluang di kerusi-kerusi PKR atau PH tersebut yang mempunyai pengundi reformis, muda dan kelas menengah.
Katanya, kekuatan Rafizi ialah pada jenama reformis, politik berasaskan data, pengundi muda profesional dan kekecewaan sebahagian penyokong PKR terhadap hala tuju kerajaan.
“Parti Rafizi (Bersama) tidak perlu menang banyak kerusi untuk menjadi penting sebaliknya cukup jika ia mampu memecahkan undi PH di 10 hingga 20 kerusi marginal. Ia sekurang-kurangnya boleh menjadi penentu kekalahan pihak lain walaupun tidak menang.
“Risiko terbesar Bersama ini ialah kepada PKR atau PH, bukan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ahad lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dan Nik Nazmi telah mengambil alih Bersama sebagai platform politik baharu yang mahu muncul sebagai kuasa ketiga dalam arena politik negara.
Bersama merupakan sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.
Nik Nazmi yang juga bekas Naib Presiden PKR turut menzahirkan keyakinan Bersama mampu menarik sokongan pengundi baharu khususnya dalam kalangan rakyat yang mahukan alternatif baharu dalam landskap politik negara.
Mohamad Faizal berkata, Bersama juga dijangka bakal berdepan cabaran besar khususnya daripada aspek jentera di peringkat akar umbi, calon tempatan, dana kempen, ejen pilihan raya dan struktur kawasan.
“Tanpa itu, parti baharu biasanya kuat daripada segi naratif semata-mata tetapi lemah dari segi kemenangan kerusi dalam pilihan raya,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof pula berkata, Bersama sekurang-kurangnya mampu meraih 15 peratus undi PH di kawasan-kawasan ditandingi terutama di bandar.
“Meskipun jika hanya sekitar 15 peratus, ia sudah mampu menganggu undi PH di kawasan-kawasan yang dimenangi dengan majoriti tipis dalam pilihan raya sebelum ini.-UTUSAN










