BAITULMUQADDIS: Wakil tinggi Lembaga Keamanan yang menyelia gencatan senjata Gaza, Nickolay Mladenov, menyatakan bahawa badan itu tidak menuntut Hamas dihapuskan sebagai sebuah gerakan politik.
Bercakap dalam sidang media pada Rabu, Mladenov berkata, pihaknya tidak meminta Hamas untuk hilang sebagai sebuah gerakan politik.
Bagaimanapun, beliau menyatakan semula tuntutan agar Hamas dan kumpulan bersenjata lain untuk melucutkan senjata selain menyifatkan perkara itu sebagai ‘tidak boleh dirunding’.
Menurutnya, tujuh bulan selepas gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober tahun lalu, pintu masa depan Gaza masih tertutup.
“Ia bukan seperti yang dijanjikan kepada rakyat Palestin dan bukan seperti yang mereka berhak terima. Ia juga tidak memberikan keselamatan kepada Israel untuk bergerak ke hadapan, seperti diinginkan rakyat Israel.
“Kita mempunyai gencatan senjata. Ia masih bertahan. Ia tidak sempuna, jauh daripada sempurna. Terdapat pelanggaran setiap hari, dan sebahagiannya sangat serius,” katanya merujuk pelanggaran berterusan oleh tentera Israel.
Lembaga Keamanan ditubuhkan pada Januari atas inisiatif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebagai sebahagian usaha untuk mencapai penyelesaian damai di Gaza.
Washington kemudian memaklumkan beberapa negara lain turut menyertai inisiatif tersebut.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 856 rakyat Palestin serta mencederakan 2,463 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. – AGENSI










