Jabatan Kehakiman tubuh dana khas untuk sekutu politik Trump - Utusan Malaysia

Jabatan Kehakiman tubuh dana khas untuk sekutu politik Trump

JABATAN Kehakiman AS mengumumkan penubuhan dana RM6.7 bilion. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump kelmarin mengumumkan penubuhan dana berjumlah AS$1.7 bilion (RM6.7 bilion) untuk memberi pampasan kepada sekutu politik yang didakwa di bawah pemerintahan pendahulunya Joe Biden.

Wakil-wakil rakyat daripada parti Demokrat dan kumpulan pemantau segera mengkritik rancangan itu dengan menyifatkannya sebagai ‘dana rasuah’ dan digunakan untuk memberi ganjaran kepada penyokong setia Trump menggunakan wang pembayar cukai.

Sebagai pertukaran untuk penubuhan Dana Anti-Persenjataan, Jabatan Kehakiman berkata, Trump akan menggugurkan saman terhadap Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) berhubung kebocoran rekod cukainya.

Trump, dua anak lelakinya,  Eric dan Donald Jr. serta Organisasi Trump memfailkan saman terhadap agensi pengutip cukai itu di mahkamah daerah persekutuan di Florida untuk menuntut ganti rugi AS$10 bilion (RM39.7 bilion) berhubung kebocoran maklumat tersebut.

Sebelum ini, seorang bekas kontraktor IRS mengaku bersalah kerana membocorkan rekod cukai Trump dan beberapa individu kaya lain kepada media, sebelum dijatuhi hukuman penjara lima tahun.

Jabatan Kehakiman yang kini diketuai bekas peguam peribadi Trump, Todd Blanche berkata, Dana Anti-Persenjataan itu diwujudkan sebagai sebahagian daripada penyelesaian kes berkenaan.

“Jentera kerajaan tidak seharusnya digunakan sebagai senjata terhadap mana-mana rakyat Amerika, dan hasrat jabatan adalah untuk membetulkan kesilapan yang dilakukan sebelum ini dan memastikan perkara ini tidak berulang.

“Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, kami sedang mewujudkan satu proses yang sah untuk mangsa tuntutan undang-undang dan penyalahgunaan kuasa bagi didengar dan mendapatkan pembelaan,” kata Blanche.

Jabatan Kehakiman berkata, Blanche akan melantik lima individu untuk mengawasi dana tersebut, manakala keluarga Trump akan menerima permohonan maaf rasmi tetapi tidak akan mendapat sebarang bayaran atau sebarang bentuk pampasan kewangan.

Selepas meninggalkan Rumah Putih pada 2021, Trump dituduh oleh penasihat khas, Jack Smith kerana cuba membatalkan keputusan pilihan raya 2020 yang dimenangi Biden, dan salah mengendalikan dokumen sulit.

Kedua-dua kes itu digugurkan selepas beliau memenangi pilihan raya presiden 2024 atas tiket parti Republikan.

Walaupun Trump tidak menerima sebarang bayaran, dana pampasan itu berkemungkinan boleh digunakan oleh pihak lain yang percaya mereka didakwa secara tidak adil oleh pentadbiran Biden .- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN