SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diadakan tahun ini, namun keputusan muktamad masih bergantung kepada pucuk pimpinan parti.
Beliau berkata, pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas sidang DUN diadakan seperti mana berlaku di peringkat Parlimen sebelum ini.
Menurutnya, keadaan semasa juga dilihat “cantik” untuk diadakan pilihan raya, namun situasi pada masa akan datang juga boleh berubah mengikut perkembangan politik semasa.
“Saya pun rasa cantik sekarang, cantik akan datang, semua cantik, tetapi semua berkemungkinan. Dalam politik ini macam-macam boleh berlaku. Ketiadaan sidang DUN ketika ini tidak bermakna nak diadakan pilihan raya negeri (PRN).
“Tetapi, kalau kita tengok Parlimen sebelum ini, bajet diluluskan dan selepas itu Parlimen dibubarkan. Jadi tidak mustahil Negeri Sembilan juga boleh berlaku perkara sama atau boleh juga diteruskan sampai habis penggal,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata, kerajaan negeri masih mempunyai tempoh kira-kira enam bulan sebelum DUN terbubar dengan tersendirinya pada Oktober depan.
“Kita ada enam bulan lagi, jadi kalau tidak buat sidang DUN sekalipun, ia akan terbubar dengan sendirinya. Tetapi insya-Allah kita akan adakan sidang DUN selewat-lewatnya 24 Oktober,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pihaknya turut mengambil kira kemungkinan penyelarasan pilihan raya dengan negeri lain termasuk Melaka dan Johor.
“Kita tengok juga kesesuaian dan perbincangan di peringkat kepimpinan tertinggi mengenai negeri-negeri yang berdekatan untuk mengadakan pilihan raya,” katanya.
Selain itu ,beliau berkata, setakat ini masih tiada perbincangan dilakukan sama ada PH negeri ini akan bertanding secara solo semasa PRN, namun keputusan akhir tetap tertakluk kepada pucuk pimpinan pusat.
“Buat masa ini kita kerja untuk solo, tetapi itu bukan keputusan untuk pilihan raya lagi. Kita serah kepada pimpinan selepas rundingan dan perbincangan dibuat demi kebaikan semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, setakat ini masih tiada kalangan ahli PKR di negeri ini yang beralih sokongan kepada bekas menteri, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas beliau mengambil alih parti Malaysia Bersama.
“Yalah, beliau ada pandangan, ada hak dan pendekatan sendiri. Jadi terserah kepada masing-masing kerana semua ada hak dalam demokrasi. Kita perlu hormat keputusan dan pendirian masing-masing,” katanya.
Dalam pada, beliau turut mengumumkan akan memangku portfolio Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Modal Insan.
Manakala, portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan akan dipangku Nicole Tan Lee Koon serta portfolio Pengerusi Jawatankuasa Warisan, Teknologi,dipangku Datuk Noor Zunita Begum Mohd Ibrahim serta Portfolio Pengerusi Jawatankuasa Inovasi dan Digital pula dipangku oleh J.Arul Kumar. – UTUSAN










