DBKL perkenal inisiatif pembaharuan lesen perniagaan sehingga tiga tahun

DBKL perkenal inisiatif pembaharuan lesen perniagaan sehingga tiga tahun

HANNAH Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud pada sidang akhbar Penambahbaikan Sistem e-Lesen Pemudah Urusan Pelesenan Perniagaan di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan inisiatif baharu pembaharuan lesen perniagaan sehingga maksimum tiga tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai ini sebagai langkah memperkukuh ekosistem perniagaan bandar raya yang lebih mesra pelanggan, efisien dan progresif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pelaksanaan inisiatif ini bertujuan membantu komuniti perniagaan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, perancangan operasi, pengurusan kewangan dan pembiayaan perniagaan bagi tempoh jangka sederhana serta panjang.

Menurutnya, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada hampir sekitar 95,000 pelesen di Kuala Lumpur.

“Melalui pelaksanaan ini, tempoh sah laku lesen perniagaan bagi permohonan pembaharuan lesen yang berstatus lulus tetap boleh dipanjangkan daripada satu tahun kepada dua atau tiga tahun tertakluk kepada syarat yang ditetapkan termasuk pelesen tidak mempunyai sebarang kompaun atau tunggakan bayaran sewa dengan DBKL.

“Sebagai galakan kepada para pelesen, DBKL turut menawarkan insentif potongan kadar fi lesen bagi pembaharuan lesen pelbagai tahun iaitu lima peratus untuk tempoh dua tahun dan 10 peratus bagi tempoh tiga tahun,” katanya menerusi sidang akhbar Penambahbaikan Sistem e-Lesen Pemudah Urusan Pelesenan Perniagaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Menara Seri Wilayah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, antara kategori sektor perniagaan yang layak dipertimbangkan bagi pembaharuan lesen sehingga tiga tahun melibatkan premis pejabat, bengkel dan kejuruteraan, penternakan dan pertanian, gudang/stor/penyimpanan, hotel, pembuatan/pengilangan/perindustrian, makanan dan minuman serta tred dan perniagaan.

Jelasnya, pendekatan baharu itu juga selaras dengan usaha DBKL dalam mempertingkat sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, fleksibel dan responsif kepada keperluan warga kota serta komuniti perniagaan.

“Pelaksanaan pembaharuan lesen pelbagai tahun ini dijangka dapat mengurangkan beban urusan pembaharuan tahunan, menjimatkan masa serta kos pematuhan selain meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada komuniti perniagaan.

“Pada masa sama, pendekatan ini turut membolehkan DBKL memberi tumpuan lebih efektif terhadap sektor dan aktiviti perniagaan yang memerlukan pemantauan serta semakan tahunan secara lebih menyeluruh berdasarkan keutamaan penguatkuasaan dan pematuhan semasa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN