PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan yang terus menyatakan komitmen untuk menyokong kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendirian itu melibatkan parti-parti antaranya Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang kekal bersama kerajaan bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, komitmen tersebut mencerminkan keutamaan parti-parti berkenaan terhadap kepentingan rakyat dan negara.
Katanya, sokongan berterusan itu turut membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada usaha menangani cabaran ekonomi yang sedang dihadapi negara susulan krisis di Asia Barat.
“Perdana Menteri ada memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai komitmen daripada parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang menyatakan hasrat untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan sehingga akhir penggal.
“Komitmen itu diulangi dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini,” katanya dalam sidang akhbar mingguan menerusi aplikasi Zoom, hari ini.
Sementara itu, Fahmi berkata, kerajaan turut menekankan keperluan memastikan perbelanjaan awam dilaksanakan secara lebih berhemah dan berfokus.
Katanya, pendekatan itu dapat dilihat melalui penganjuran beberapa acara rasmi kerajaan termasuk sambutan Hari Belia dan Hari Guru yang dilaksanakan secara lebih sederhana, tahun ini.
Beliau berkata, langkah penyelarasan keutamaan perbelanjaan mengurus bagi setiap kementerian juga mula menunjukkan hasil positif tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan program kementerian.
“Keutamaan terus diberikan kepada pengukuhan perkhidmatan barisan hadapan khususnya dalam sektor kesihatan, keselamatan dan pendidikan demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN










