PUTRAJAYA: Sebanyak 1.6 juta tan metrik simen diperuntukkan bagi fasa pertama Inisiatif Simen Rahmah 2026 untuk menyokong sasaran pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu merupakan antara inisiatif terbesar kerajaan bagi memastikan agenda perumahan negara terus dipacu meskipun berdepan peningkatan kos bahan binaan susulan krisis tenaga global dan konflik di Asia Barat.
Menurut beliau, Inisiatif Simen Rahmah 2026 turut diperluaskan kepada semua projek perumahan mampu milik di bawah Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan swasta bermula 1 Jun ini.
Katanya, projek ikonik rakyat seperti Program Residensi Rakyat (PRR), projek di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) serta pelbagai skim perumahan kerajaan negeri kini layak menikmati subsidi simen pada harga lebih rendah daripada pasaran.
“KPKT berhasrat untuk meneruskan inisiatif Simen Rahmah dan menawarkan simen pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran khas untuk projek perumahan mampu milik.
“Melalui inisiatif ini, kita berharap para pemaju akan terus menyokong agenda Kerajaan MADANI untuk menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti walaupun berdepan peningkatan kos binaan,” katanya dalam sidang akhbar Pelancaran Skim Simen Rahmah 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya permintaan terus meningkat, kerajaan bersedia menambah kuota sehingga satu juta tan metrik lagi melalui rundingan berkala bersama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA).
Kor Ming berkata, harga simen pukal di bawah skim itu ditetapkan pada RM290 satu tan metrik berbanding harga pasaran RM425, manakala simen kampit 50 kilogram dijual pada harga RM17.50 sekampit berbanding harga pasaran RM24.90.
Menurut beliau, pengurangan masing-masing sebanyak 32 peratus dan 30 peratus itu dijangka membantu mengawal kos bahan binaan serta mengurangkan risiko projek rumah mampu milik menjadi sakit atau terbengkalai.
“Penjimatan kos ini bertindak sebagai mekanisme kawalan harga jualan rumah, intervensi awal menghalang risiko projek sakit atau terbengkalai serta memastikan kualiti kediaman rakyat tidak dikompromi,” katanya. – UTUSAN










