Gantung lesen, sita kilang arak - Utusan Malaysia

Gantung lesen, sita kilang arak

SUDAH tiba masanya pihak berwajib bertindak tegas terhadap pengeluar minuman keras agar mereka lebih sensitif dalam pemilihan jenama supaya tidak mendatangkan kemarahan orang Islam di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN diminta segera bertindak terhadap pengeluar wiski jenama Timah dan Omar yang terang-terangan mencabar orang Melayu dan agama Islam.

Banyak lagi nama lain yang boleh dijadikan jenama minuman keras berkaitan sejarah dan kebudayaan.

Memang tidak boleh diterima masyarakat terutama orang Melayu jika minuman keras itu menggunakan nama yang merujuk kepada orang Islam apatah lagi mempunyai kedudukan yang tinggi kerana ia merupakan nama anak dan sahabat Nabi Muhammad SAW.

Jenama yang meragukan dalam produk makanan seperti mi telah lama dipersoalkan tetapi seakan-akan tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hendaklah lebih peka dalam memastikan hak pengguna Muslim terpelihara daripada dimanipulasi pengilang makanan yang mengguna pakai lambang dan nama Melayu untuk memancing pembeli umat Islam.

Antaranya, mereka boleh menolak permohonan syarikat bukan bumiputera untuk mengeluarkan produk dengan menggunakan nama orang Melayu dan lambang Islam dengan sewenang-wenangnya.

Sebarang kelonggaran dan ketidaktegasan agensi berkaitan dalam memberikan lesen kepada produk makanan dan minuman akan menimbulkan kontroversi dan tafsiran yang salah terutama berkaitan bangsa dan agama.

Pihak berkaitan perlulah memahami hak kepelbagaian bangsa dan sensitiviti kaum di negara ini. Janganlah cuba mencari masalah dan boleh pula berdolak-dalik demi mewajarkan kesalahan tersebut.

Sementara pihak pengeluar perlulah meminta maaf kepada masyarakat Melayu kerana mencetuskan kontroversi dan penghinaan terhadap puteri Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda serta mencemarkan agama Islam.

Seterusnya, agensi berkaitan perlu bertegas terhadap kilang yang menggunakan logo halal palsu, beroperasi tanpa lesen dan sebagainya. Tiada lagi amaran sebaliknya gantung lesen dan sita kilang kerana sebelum ini tindakan cara berlembut tidak diendahkan.

Masyarakat menantikan satu tindakan yang drastik daripada pihak berwajib supaya isu penghinaan kaum dan agama Islam tidak dipandang ringan dan diremehkan oleh sesetengah pihak.

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya