Muzium hati Irma Yanti

Muzium hati Irma Yanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IRMA sedar betapa cepatnya Mei melewati takwim. Bahkan, Jun kini bertakhta dalam benak warga. Malahan, Julai juga sudah menjengah-jengah menerusi jendela kehidupan. Sesekali Irma terasa seolah-olah kehidupan ini dibungkus fikiran dan perasaan yang hiperbola sifatnya.

Irma bertambah sedar, biarpun jarum waktu berputar selagi dibekalkan kuasa, sebagaimana manusia dibekalkan daya fikir dan daya rasa, tiap peristiwa tentu sarat dengan kenangan yang bertapak di wilayah memori.

Irma oh Irma. Ternyata memperoleh ‘A’ bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam SPM bukan sejenis anugerah tanpa keringat atau pencapaian tanpa usaha. Susah payah ayah bonda mentarbiyah dan menyekolahkannya bagaikan skrip video yang diulang tayang tanpa bosan dalam benaknya. Jerih-perih tunjuk ajar guru tidak pernah dipadam daripada atma. Itulah sikap seorang alumni sebuah sekolah menengah ternama dan sebuah institusi perguruan ulung di Negeri Perak Darul Ridzuan.

Itulah Irma Yanti Mustafa. Murid-murid memanggilnya Cikgu Irma. Rakan-rakan guru sesekali memanggilnya Cikgu Irma Yanti. Ada juga staf sekolah yang tersasul memanggilnya Cikgu Yanti.

“Cikgu berasal dari seberang ya?” Tanya seorang guru, melanjutkan budaya sapaan mesra sesama warga sekolah. Irma tergelak kecil dan menjawab, “Saya anak jati Perak, cikgu! Mungkin ayah semasa muda suka baca novel dari Seberang.” Irma cuba mewajarkan pilihan namanya yang unik.

Bagi Irma, diari sekolah bagaikan lembaran indah yang membina perkembangan bab pengalaman hidupnya sebagai pendidik. Irma bersyukur. Tidak sukar baginya untuk mengimbau pesan keramat ibunya.
“Jadilah pendidik yang sederhana tetapi bermakna.”

Seusai makan di kantin pada waktu rehat pukul 10 pagi, Irma mengatur langkah ke bilik guru. Irma menyelak fail panitia. Matanya menyorot surat yang baru diminitkannya pada awal pagi. Surat itu adalah salinan surat permohonan pihak sekolah untuk mengadakan lawatan ke Muzium Mersing dan Muzium Kota Tinggi.

Irma berpuas hati setelah surat permohonan ditandatangani oleh guru besar dapat dikirimkannya kepada pihak yang berkenaan.

Bukan kali pertama Irma mengetuai kegiatan menjelajah muzium. Warga sekolah tidak pernah menghampakannya. Sambutan sentiasa menggalakkan. Semasa mengajar di Kedah, Irma membawa murid-murid ke Muzium

Lembah Bujang. Muzium-muzium di Melaka apatah lagi, memang destinasi tetap bagi sekolah Irma, dengan kumpulan murid berlainan pada setiap tahun.

Lamunan singkat Irma terhenti. Cikgu Zaimah, rakan sepanitia menyapa.

“Surat kebenaran ibu bapa sudah beres, Ma?”

“Awal lagi sudah disiapkan, Zai.”

“Mana tak siap awal, semua murid teruja apabila diberitahu projek lawatan ke Mersing dan Kota Tinggi,” tambah Irma.

“Baguslah kalau begitu. Sesuailah cikgu-cikgu memberi gelaran Ma sebagai guru lawatan!”

Irma tersenyum. Zaimah tersenyum sama. Dua guru muda itu memang disenangi guru-guru lain. Mereka ringan tangan serta pemurah.

“Usia bukan halangan untuk tunjuk kematangan. Betul tak, kak?” ujar Cikgu Zaleha kepada teman di sebelahnya, Cikgu Rafeah.

“Betul sangat, Cikgu Leha. Bertuah sekolah ini ada guru muda bersemangat macam Irma dan Zaimah. Kita tinggal dua tahun lagi nak bersara, ikut sahaja rentak guru-guru muda,” balas Cikgu Rafeah.

****
Bas sewa khas untuk kegiatan Jelajah Muzium sudah sampai seawal pukul 8 pagi. Dua pemandu, berbual sambil menunggu peserta lawatan menaiki bas.

Irma dilihat berjalan menghampiri bas, mendekati pemandu.

“Assalamualaikum, encik.”

“Waalaikumussalam, cikgu,” jawab Basri, pemandu pertama.

“Murid-murid saya sedang bersarapan di kantin. Turunlah bersarapan sekali.”

“Terima kasih, cikgu. Kami sudah minum di warung hadapan masjid tadi.”

Tepat pukul 9 pagi, peserta Jelajah Muzium meninggalkan pekarangan sekolah menuju ke Johor Bahru. Semua peserta sudah ditaklimatkan, bahkan setiap orang telah diberikan atur cara Jelajah Muzium, bermula dengan kunjungan ke Istana Besar dan Galeri Aura Islam. Dua tempat ini diperuntukkan masa empat jam, iaitu dua jam bagi satu tempat.

“Ma, sempatkah empat jam untuk muzium dan galeri?” Zaimah sekadar berbasa-basi, walhal semua perkara sudah dibincangkan.

“Ala kita yang mengaturnya, tentu cukup,” jawab Irma, dan menyambung, “Kalau diikutkan makna sebenar ‘jelajah’, dua jam memang tak cukup!”

Tiba-tiba…

“Cikgu, kita tidur di Johor Bahru ya?” Zamirul yang duduk di kerusi hadapan bertanya.

“Bukankah sudah dijelaskan awal-awal lagi. Semaklah atur cara. Pukul 4:30 petang nanti kita bergerak ke Mersing, tidur di sana,” terang Irma.

“Zamirul sengaja buat-buat lupa ya. Atur cara di tangan itu bacalah,” Cikgu Azlan mengusik Zamirul.

Zamirul hanya tersenyum.Langkah Zamirul bertanya perkara yang sudah dimaklumkan menyebabkan Irma teringat akan kata-kata yang biasa dilafazkan oleh seorang pensyarah yang juga penyelia sarjananya sewaktu mengikuti pengajian di Tanjung Malim.

Kata Profesor Amiruddin, sudah menjadi kebiasaan, pelajar akan mengulangi pertanyaan. Guru pula fitrahnya akan mengulangi jawapan. Itulah pendidikan. Kesan akhirnya akan memperkukuh kefahaman, lalu membentuk amalan hidup.

Setelah dua jam menelusuri Lebuhraya PLUS dari Melaka ke Johor Bahru, bas tiba dengan selamatnya di pekarangan Istana Besar. Basri yang tidak henti-henti bersembang dengan rakan sejawatnya, Zakaria ternyata berhemat dalam pemanduan.

****
Lawatan ke Istana Besar menepati waktu yang diatur. Riak wajah para peserta tampak ceria. Penerangan oleh petugas ternyata amat memuaskan. Semua bahagian penting di dalam istana dilawati termasuk Balai Rong Seri. Di pekarangan Istana Besar, Cikgu Irma, Cikgu Zaimah dan Cikgu Azlan kelihatan ceria melayan murid-murid bergambar.

Keterujaan para peserta Jelajah Muzium nyata tidak dapat disekat. Selepas mengetahui sejarah Istana Besar, selanjutnya merakamkan potret kenangan di luar istana, bas bergerak ke Iskandar Puteri. Di sana ada sebuah galeri yang dibangunkan oleh seorang usahawan. Dato’ Anuar Hassan namanya. Pelbagai artifak berkaitan sejarah perkembangan Islam termasuk peninggalan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dipamerkan di Galeri Aura Islam.

“Ma, tak beli cenderamata di galeri tadi?” Tanya Cikgu Zaimah.

 

“Tak beli pun. Plastik cenderamata semasa ikuti program dengan DBP Wilayah Selatan masih belum dibuka lagi, Zai!” balas Irma.

“Walaupun tak beli tapi lihat ini…,” sambung Irma sambil menunjukkan sekeping poskad yang baru diterimanya daripada seseorang.

“Wah, gambar artifak yang dipamerkan di galeri!”

“Ya, menarik, Zai! Tapi lebih menarik lagi tulisan ini…”

Cikgu Zaimah menarik tangan Irma, membolehkan poskad itu dibaca lebih jelas.

“Amboi, bertulis ‘Jelajah Muzium Hatimu’! Bertuah kau, Irma! Siapa gerangan penjelajah itu?”

Irma tersenyum, seraya berkata, “Kawan kita juga, itu di sana yang sedang bergambar dengan budak-budak,” balas Irma sambil memandang Cikgu Azlan di satu sudut galeri.

“Bertuah badan, Irma! Tak sia-sia jadi pengiring rombongan!” usik Zaimah.

“Jangan buat kesimpulan cepat sangat! Kena tunggu dan lihat sejauh mana kesungguhan penjelajah itu.” Irma tersenyum, bertambah ceria.

“Aku rasalah, oleh sebab galeri ini tempat pameran artifak peninggalan Rasulullah, maknanya ini macam beri alamat tentang rezeki kau nak dapat jodoh!”

“Ala Zai, kau pergi jauh sangat! Cikgu Azlan itu suka-suka saja hadiahkan poskad.”

“Yalah, sebab suka-sukalah akhirnya jadi sungguh-sungguh!”

“Tapi, di sekolah tak pernah pula dia tunjuk reaksi suka, walhal banyak peluang berjumpa kalau nak tunjuk isyarat suka,” jelas Irma.

“Jangan fikir yang susah-susah, Ma. Poskad itu hanya asbab. Dia mungkin menunggu saat istimewa untuk menyatakan hasrat hati. Mungkin di Tanah Daksina ini dia mendapat kekuatan!”

Bas bergerak laju menghala ke Mersing. Seluruh peserta lawatan dijadualkan bermalam di Hotel Seri Malaysia. Pada sebelah malamnya, para peserta berhimpun di dewan hotel untuk mengikuti sesi perkongsian tentang penulisan kreatif.

“Cikgu Azlan, sesi kita agak santai, tapi boleh bantu jadi pengerusi majlis ya,” saran Zaimah.

“Cikgu Irma rasanya lebih layak!” balas Azlan.

“Alahai, kita semua layak, tapi Irma yang cadangkan Cikgu Azlan.”

“Oh, kalau Irma yang cadang, saya tak tolak!”

“Tahniah! Sedang eloklah. Kalau tak tolak, ertinya ada alamat baik!”

“Cikgu Zaimah, alamat apa pula?” sambut Azlan, ingin mencungkil reaksi.

“Kata nak menjelajah muzium hati Cikgu Irma! Ini kalilah!”

Cikgu Azlan tergelak, disusuli Cikgu Zaimah. Cikgu Irma yang baru muncul sekadar memandang mereka.

“Apa cerita yang menarik sangat itu?” Irma bertanya.

“Cerita tentang poskad galeri!” Wajah Irma tidak dapat menyembunyikan perubahan emosi. Namun dia cuba mengabaikan emosi yang terkesan, lalu berusaha mengubah situasi.

****

Jelajah Muzium Mersing mendedahkan peserta kepada aneka peristiwa bersejarah yang terkait dengan daerah Mersing, termasuk Mersing pada era pendudukan Jepun. Dalam pada itu, kesan istimewa lebih dirasai oleh

Cikgu Azlan. Selama ini, kalangan guru lebih mengenali Cikgu Azlan sebagai guru yang pendiam dan amat prihatin dalam kata-kata. Rupa-rupanya, dalam diam-diam itu, hatinya terpaut kepada rakan setugas.

“Cikgu, kenapa cikgu duduk belakang saya? Pergilah duduk dekat Cikgu Irma dan Cikgu Zaimah,” Zamirul bersuara.

“Isy kamu ini Zamirul, suka hati sayalah nak duduk mana. Saya duduk di sini sebab ayah kamu suruh saya perhatikan kamu tau!” helah Cikgu Azlan.

“Ha…ha…ha, Cikgu Azlan buat kelakar ya! Yang hantar saya ke sekolah pagi tadi bukan ayah saya. Abang saya, cikgu,” Zamirul membalas usikan Cikgu Azlan.

Mereka sama-sama tergelak. Zamirul tidak berhenti di situ. Dia mengusik gurunya lagi.

“Cikgu nak duduk di kerusi sebelah Cikgu Irma pun, kami tak kisah. Kih…kih, saya tak cerita dengan kawan lain.”

“Zamirul, Zamirul, kamu yang buat lawak lebih-lebih!”
Semua penumpang sudah turun. Semua murid sudah berbaris untuk memasuki bangunan Muzium Kota Tinggi. Guru-guru pengiring rombongan beratur dalam kelompok di belakang.

“Lihat, muzium ini lebih besar ya, Ma,” ujar Cikgu Zaimah.

“Yalah Zai, bukah sahaja besar, bahan pameran juga lebih banyak, termasuk lukisan yang menceritakan peristiwa sejarah dahulu kala,” sambut Irma.

“Cikgu Azlan, apa kata kita beri tugasan kepada murid? Tidaklah lawatan ini berakhir begitu sahaja!” cadang Cikgu Irma.

“Eh, Cikgu Irma macam dapat baca hati saya…!”

“Baca hati? Maksudnya?”

“Maksud saya, sebenarnya saya sudah terfikir awal lagi nak bagi satu tugasan kepada peserta,” jelas Cikgu Azlan.

“Tugasan apa? Ambil gambar, kemudian buat karangan laporan?” Lanjut Cikgu Irma.

“Kita buat lain sedikit. Murid buat kumpulan kecil. Tiap kumpulan diminta bina skrip lakonan berdasarkan peristiwa sejarah. Contoh, peristiwa kejatuhan Melaka di tangan Portugis, diikuti langkah memerangi Portugis.”

Cadangan Cikgu Azlan disambut baik oleh Cikgu Irma dan Cikgu Zaimah.

“Keluar muzium ini nak saya apa pula? Di Galeri Aura Islam saya dapat poskad. Di sini, apa agaknya?” Cikgu Irma mengusik Cikgu Azlan.

Cikgu Azlan tersenyum, lalu membalas usikan itu bersela lima minit.

“Saya nak menjelajah muzium hati Cikgu Irma!” Cikgu Irma menjadi kemalu-maluan oleh penyataan terus terang Cikgu Azlan.

“Tahniah, Ma, sudah terang lagi bersuluh. Alhamdulillah, cuti nanti tentu ada undangan kenduri,” Cikgu Zaimah berseloroh.

“Minta maaf Ma, nanti isi tempat kosong dalam baris tiga pantun ini ya.”

Dari mana punai melayang,

Dari hutan terbang ke kuari;

Dari mana datangnya _____,

Dari lawatan ke sebuah galeri.

“Zai, jawapannya macam nak mengena saja!”

Cikgu Zaimah tergelak.

“Cikgu Zaimah, tak sampai saya nak jawab di sini!” ucap Cikgu Azlan spontan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN