PETALING JAYA: Walaupun sering dikatakan serasi, vokalis kumpulan Insomniacks, Iqie menegaskan hubungannya dengan ahli kumpulan, Dolla iaitu Angel tidak lebih daripada rakan karib.
Iqie atau Syed Mir Iqbal berkata kemesraannya bersama Angel adalah perkara biasa memandangkan mereka sudah berkawan lama.
“Saya tiada komen. Sudah lama kami berkawan. Kami memang kawan dari dulu sehingga sekarang,” katanya ringkas ketika ditemui di sidang media Latihan Pestapora di Kelab Royal Selangor, di sini, baru-baru ini.
Maklum akan respons sesetengah peminat yang berhadap mereka menjalin hubungan cinta, Iqie bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan hanya selesa bergelar seorang kawan kepada Angel.
“Terima kasih, tapi kami kawan sahaja,”katanya.
Hubungan Iqie dan Angel mencuri perhatian peminat apabila masing-masing menunjukkan keakraban menerusi hantaran di media sosial sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi.
Dalam perkembangan lain, Insomniacks tampil memeriahkan Festival Muzik Latihan Pestapora Malaysia 2026 pada Jun ini.
“Ini adalah kali pertama kami menyertai Latihan Pestapora dan diharapkan kami dapat menyertai festival muzik ini di Indonesia pula.
“Sebab tahun lalu memang kami mahu cuba menembusi pasaran Indonesia, jadi diharapkan dengan peluang ini kami diberi ruang untuk membuat persembahan di sana,” katanya. -UTUSAN










