fbpx

Wakaf pertanian tingkat sosioekonomi negara

WAKAF sektor pertanian, peternakan dan perikanan mampu meningkatkan lagi kemajuan pembangunan ekonomi negara secara berterusan. UTUSAN/ MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, 

SUMBER tanah dan air sangat penting dalam sektor pertanian, ternakan dan perikanan. Kepentingan sektor pertanian membantu menyelesaikan masalah kehidupan seperti yang diabadikan dalam kisah Nabi Yusuf a.s. yang ketika itu berjaya menyelesaikan krisis bencana alam seperti kemarau.

Sejarah peradaban manusia juga membuktikan pembangunan tamadun awal berlaku di kawasan sungai seperti Nil, Hwang Ho, Indus, Tigris dan Eupharates. Sungai-sungai ini berperanan sebagai sumber kehidupan, menyuburkan pembangunan ekonomi berasaskan pertanian, penciptaan teknologi berasaskan air di samping menjaringkan perhubungan dengan merangkaikan hubungan sesama manusia. 

Sektor agromakanan sangat penting untuk penyediaan makanan. Agenda keselamatan makanan bagi sesebuah negara juga amat penting jika berlaku konflik, perubahan iklim, bencana alam, masalah ekonomi dan wabak penyakit seperti pandemik Covid-19 yang menghalang kegiatan pertanian. Ia  berkemungkinan menyebabkan negara-negara pengeluar mengurangkan eksport makanan kerana lebih mengutamakan keperluan domestik.

Selaras perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), penggunaan teknologi pintar perlu digunakan untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara. 

Hal ini bertetapan dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika perasmian Mesyuarat Dewan Negeri Perak untuk memberikan perhatian serius terhadap ancaman keselamatan bekalan makanan dengan mengaktifkan sektor pertanian, ternakan dan perikanan. 

Baginda bertitah, sektor-sektor ini amat perlu diperkenalkan dengan budaya kerja dan pengeluaran baharu iaitu menyuntik kaedah dan mekanisme moden supaya produktiviti bahan makanan dapat segera ditingkatkan. 

Melihat keadaan ini, konsep wakaf boleh dijadikan alternatif di kawasan tanah terbiar. Tanah wakaf di seluruh negara masih banyak belum dimajukan sepenuhnya. Tanah-tanah wakaf yang dikenalpasti di bawah bidang kuasa pihak berkuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) boleh dibangunkan bersama Kerajaan Persekutuan. 

Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menyatakan, lebih banyak instrumen wakaf akan diperkenalkan termasuk mewujudkan satu dana di peringkat nasional serta satu Pelan Induk Wakaf Nasional bagi memastikan pengurusan yang lebih cekap.

Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 menjadi elemen penting dalam pencapaian sektor agromakanan yang dijangkakan berkembang 4.5 peratus dalam tempoh RMK12. Ini akan meletakkan sektor tersebut sebagai penyumbang utama dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Perkembangan ini akan turut memberikan kesan positif kepada industri agropelancongan negara kerana ia berkaitan sektor pertanian berasaskan tanaman, ternakan, perikanan yang semakin berkembang dengan penambahan jumlah kedatangan pelancong domestik dan luar. 

Pembangunan wakaf ini bukan sahaja memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat malah kepada belia yang yang semakin minat bidang pertanian dan penternakan. 

Tepat pada masanya kerajaan dan MAIN perlu bekerjasama dalam meningkatkan potensi pembangunan tanah-tanah wakaf seterusnya membangunkan ekonomi umat Islam dan negara.

MOHD YAKOP IKRAM, Ipoh, Perak

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN