Manele digulingkan melalui undi tidak percaya

Manele digulingkan melalui undi tidak percaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONIARA: Perdana Menteri, Jeremiah Manele kehilangan kuasa selepas kalah dalam undi tidak percaya di Parlimen Kepulauan Solomon pada Khamis, sekali gus menamatkan beberapa bulan ketidaktentuan politik di negara Pasifik Selatan itu.

Parlimen kemudian ditangguhkan bagi membolehkan Gabenor Jeneral membuat persiapan untuk pemilihan perdana menteri baharu.

Dalam undian tersebut, Manele tewas dengan keputusan 22 undi berbanding 26 undi.

Sebelum undian, Manele mengkritik keras mahkamah negara itu kerana menetapkan rujukan berbahaya apabila memutuskan ahli Parlimen perlu bersidang bagi undi tidak percaya tersebut.

Kerajaan perpaduan nasional dan transformasi pimpinannya berada dalam keadaan buntu sejak Mac, selepas beberapa menteri meletak jawatan dan dua rakan gabungan keluar daripada kerajaan.

Pada Jumaat, mahkamah rayuan memutuskan Manele, yang mengelak undi tidak percaya selama tujuh minggu, mesti memanggil sidang parlimen sebelum 7 Mei.

Kehadiran polis yang ramai dilaporkan di sekitar parlimen pada Khamis ketika dua kumpulan ahli parlimen tiba dengan bas berasingan.

Gabungan pembangkang baharu yang terdiri daripada enam parti politik menunjukkan ia menguasai 27 kerusi ketika ahli Parlimen memasuki dewan yang mempunyai 50 kerusi.

Bekas menteri luar Peter Shanel Agovaka, yang meletak jawatan pada Mac dan merupakan calon utama untuk menjadi perdana menteri seterusnya berkata, Manele menunjukkan kepimpinan lemah apabila menteri-menteri memberikan keistimewaan kepada kroni perniagaan.

“Di sini kita mempunyai sekumpulan orang yang mengisi poket sendiri.

“Kekurangan ketelusan termasuk ketiadaan laporan audit bagi sejumlah besar dana kerajaan dan penderma asing yang digunakan untuk menganjurkan Sukan Pasifik 2024 serta mesyuarat pemimpin Forum Kepulauan Pasifik tahun lalu,” katanya di Parlimen.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebelum ini membangkitkan kebimbangan mengenai akauntabiliti, ketiadaan laporan audit dan keperluan pembaharuan anti-rasuah pada Mac.

Manele berkata, ini kali pertama beliau mendengar aduan mengenai kepimpinannya, sambil menolak dakwaan bahawa beliau tidak tegas.

“Saya sangat kecewa, kerana tidak mempunyai masa untuk menyediakan jawapan terhadap alasan dan tuduhan ini.

“Saya percaya mahkamah telah menetapkan amalan berbahaya,” tambahnya, sambil menyifatkan arahan untuk memanggil sidang Parlimen bagi undian itu sebagai campur tangan kehakiman yang melampau.

Dengan populasi 850,000 orang, Kepulauan Solomon terletak 2,000 kilometer di timur Australia dan menerima bantuan besar daripada Canberra serta Beijing.

Hutang kepada China bagi projek infrastruktur meningkat dua kali ganda tahun lalu, menurut dokumen bajet.

Manele dipilih sebagai Perdana Menteri pada 2024 melalui undian di Parlimen oleh gabungan parti selepas pilihan raya umum tidak memberikan majoriti jelas kepada mana-mana parti tunggal.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN