Cakap dengan nada kebencian, kau bekerjasama dengan syaitan - Sharifah Sakinah - Utusan Malaysia

Cakap dengan nada kebencian, kau bekerjasama dengan syaitan – Sharifah Sakinah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharifah Sakinah meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan pempengaruh kecergasan, Tareq Fit yang didakwa semakin cenderung mencetuskan provokasi berbanding berkongsi ilmu berkaitan kesihatan dan kesejahteraan di media sosial.

Menurut Sakinah atau Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 36, dia sebelum ini mengikuti kandungan dikongsikan Tareq kerana minat mendalam terhadap dunia kecergasan dan kesejahteraan.

Namun katanya, pendekatan pempengaruh itu kini berubah apabila kandungannya dilihat lebih banyak menyerang individu lain.

“Saya sangat sukakan industri kecergasan dan kesejahteraan, sebab itu saya rasa kecewa apabila dia mula memuat naik kandungan yang menyerang ramai orang.

“Bagi saya, kesejahteraan itu bermula daripada minda. Aku minta maaf Tareq, tetapi kau kena rawat emosi, minda dan cara percakapan.

“Apabila kau bercakap dengan nada kebencian, itu bermakna kau sedang bekerjasama dengan syaitan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada sidang media filem Tarung: Unforgiven, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pelakon Girlfriend Aku Dari Neraka itu berkata, dia sudah lama berada dalam industri kecergasan dan lali melihat segelintir pihak menggunakan jalan pintas demi mendapatkan bentuk badan ideal.

Menurutnya, penggunaan bahan seperti steroid bukan lagi perkara asing dalam dunia kecergasan, namun dia kini lebih percaya kepada pendekatan semula jadi dan seimbang.

“Saya sudah lama dalam bidang ini dan apa yang saya nampak hanyalah jalan pintas seperti penggunaan steroid dan sebagainya. Sejujurnya, saya sendiri pernah mencuba pelbagai perkara sebelum ini kerana mahu mendapatkan pengalaman sendiri.

“Tetapi selepas sekian lama, kita perlu kembali kepada perkara semula jadi dan keseimbangan. Saya hanya akan mengikuti pempengaruh atau pakar nutrisi yang bertauliah, ikhlas dan tidak bekerja semata-mata kerana wang,” katanya.

Dalam pada itu, Sakinah turut tampil mempertahankan rakan-rakan industri yang menjadi sasaran kritikan pempengaruh berkenaan juga berdoa agar pempengaruh itu sedar akan tindakan yang dilakukan.

“Sebenarnya kecergasan juga satu seni. Cara pernafasan ketika bersenam, cara bercakap ketika mengajar, semuanya seni. Otot yang sasa itu juga adalah seni halus dalam industri kecergasan. Segala-galanya ialah seni. Jadi kenapa dia mengatakan seni itu haram?

“Saya hormat dia sebagai manusia. Saya rasa saya faham dia mahu mewujudkan kesedaran, tetapi harap selepas ini dia boleh menyampaikan kesedaran itu dengan cinta dan kasih sayang.

“Kita doakan yang baik-baik untuk dia. Jangan serang dia, sebaliknya kita berdoa untuknya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN