fbpx

1 Disember 2021, 12:18 am

  TERKINI

Tubuh bank wakaf digital

AWQAF Holdings Berhad adalah antara syarikat bumiputera yang berkeupayaan menguruskan bank wakaf digital.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan inisiatif lesen perbankan digital yang bakal disalurkan kepada lima institusi yang layak bagi menggalakkan sistem kewangan progresif dan inklusif.

Bank digital adalah manifestasi transformasi ekonomi yang sedang berlaku dan seluruh lapisan masyarakat harus sedar kepentingan perkembangan ini.

Sehingga Julai lalu, BNM menerima sebanyak 29 permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital dan institusi yang berjaya akan dimaklumkan pada suku pertama 2022.

Oleh itu, diharapkan BNM dapat menyediakan peruntukan khas sekurang-kurangnya satu lesen bank digital patuh syariah untuk membolehkan penubuhan bank wakaf digital.

Sistem perbankan digital yang menggabungkan amalan wakaf akan membolehkan semua orang terbabit dalam sistem kewangan Islam berteknologi tinggi dan melaksanakan amalan wakaf dengan cara lebih sistematik, efisien, mudah dan selamat.

Dengan memaksimumkan sumber dan kepakaran kewangan Islam sedia ada dalam pengurusan, kewangan, pelaburan, teknologi, pengurusan risiko dan kepatuhan syariah, ia boleh membantu meningkatkan prestasi wakaf pelaburan ke tahap lebih tinggi.

Sistem bank wakaf digital dijangka membantu memupuk kestabilan sistem kewangan melalui institusi wakaf.

Bank wakaf digital boleh menghasilkan perkhidmatan asas bank digital yang patuh syariah seperti simpanan deposit dan perkhidmatan pinjaman.

Pihak bank boleh menggunakan harta wakaf untuk terlibat dalam usaha pembangunan hartanah, usaha komersial dan e-niaga yang boleh menghasilkan pulangan lebih tinggi dan memberikan lebih banyak pilihan kepada pemberi wakaf.

Sebenarnya wakaf merupakan pemberian berbentuk harta benda, wang tunai atau tanah untuk tujuan berlandaskan prinsip-prinsip Islam dan boleh digunakan untuk membangunkan ekonomi ummah.

Sistem yang telah wujud sejak awal perundangan Islam ini memainkan peranan dalam kelestarian ekonomi.

Seiring dengan peredaran masa, kini wakaf tidak hanya difokuskan untuk tujuan ibadah malah turut dipraktikkan bagi memenuhi keperluan ummah sejagat melalui konsep wakaf korporat.

Konsep ini telah membuka dimensi baharu di dalam pengurusan aset-aset wakaf terutama wang tunai dan saham dengan penglibatan institusi korporat berteraskan amalan akauntabiliti, ketelusan dan profesionalisme.

Wakaf korporat juga dapat menangani kemiskinan, merangsang sektor keusahawanan dan meningkatkan peluang-peluang pekerjaan untuk manfaat masyarakat secara holistik.

Bagi memastikan wakaf korporat terus relevan maka penubuhannya hendaklah mengikut saluran perundangan terutamanya dengan pihak berautoriti wakaf negeri-negeri bagi menjamin kemampanan dan kesinambungan.

Selain itu, aspek penyampaian perkhidmatan terbaik seperti penerimaan aset wakaf melalui dalam talian boleh juga diaplikasikan.

Penyaluran manfaat wakaf perlu dilaksanakan dengan pendekatan efektif dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat dan manfaat wakaf yang dihasilkan melalui aset wakaf korporat boleh diperluaskan kepada pelbagai sektor dan pembiayaan fasiliti-fasiliti awam.

Dalam era pasca Covid-19, insya-Allah bank wakaf digital dapat memperkasa ekonomi untuk mencapai keterangkuman kewangan yang bermaksud individu dan perniagaan mempunyai akses kepada produk dan perkhidmatan kewangan berguna dan berpatutan.

DATUK DR. MOHD. GHAZALI MD. NOOR, Pengarah Bebas Awqaf Holdings Berhad.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN