Sandoz, SMC teroka rawatan biosimilar untuk kanser limfoma - Utusan Malaysia

Sandoz, SMC teroka rawatan biosimilar untuk kanser limfoma

KETUA Pegawai Eksekutif Sunway Medical Centre, Dr. Seow Vei Ken (dua, kiri) dan Ketua Negara Sandoz Malaysia, Singapura dan Brunei, Christine Chong (dua, kanan) menunjukkan dokumen perjanjian yang telah ditandatangani yang turut disaksikan, Presiden Sandoz Kluster Asia, Boon Huet Ee (kanan) dan Pengurus Besar Kanan Sunway Medical Centre, Dr. Heng Siew Ping dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Sunway Medical Centre dan Sandoz di Sunway Sanctuary hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Sandoz Malaysia, syarikat peneraju global dalam pembangunan generik dan biosimilar menjalin kerjasama dengan Sunway Medical Centre (SMC) bagi memperluas akses pesakit kepada ubat biosimilar, sekali gus menawarkan pilihan rawatan kanser limfoma.

Kerjasama itu merangkumi advokasi bagi meningkatkan pemahaman kepada pesakit dalam penggunaan biosimilar, selain menyokong kecemerlangan klinikal dalam rawatan limfoma di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Medical Centre, Dr. Soew Vei Ken berkata, landskap penjagaan kesihatan di Malaysia sedang berubah dengan sangat pantas dan ubat biosimilar dijangka memainkan peranan yang amat penting dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Menurut beliau, kos rawatan kanser yang merangkumi pembedahan, radioterapi dan kemoterapi kini semakin meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada kewangan kepada pesakit.

“Kos rawatan yang semakin tinggi di Malaysia memberi cabaran besar, namun melalui kerjasama ini, kami berpeluang memberikan pilihan tambahan kepada pesakit dalam pelan rawatan mereka.

“Pesakit kini boleh memilih biosimilar pada harga yang lebih berpatutan untuk rawatan harga mereka dan kami akan cuba untuk memastikan pesakit mendapat pilihan kualiti yang baik,” katanya dalam majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) kedua-dua syarikat, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Negara Sandoz Malaysia, Singapura dan Brunei, Christine Ching berkata, objektif utama kolaborasi ini adalah untuk meningkatkan kesejahteraan pesakit melalui program kesedaran awam dan pembangunan kandungan pendidikan.

“Kami menyasarkan untuk meningkatkan penglibatan pesakit agar mereka lebih memahami pilihan yang ada.

“Penggunaan biosimilar bukan sahaja menawarkan keberkesanan klinikal yang sama, malah memberikan penjimatan kos yang signifikan kepada sistem kesihatan dan pesakit,” katanya.

Kerjasama yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2026 itu akan memulakan inisiatif pendidikan dan penglibatan klinikal yang memfokuskan kepada penjagaan penyakit limfoma.

Statistik menunjukkan Non-Hodgkin limfoma merupakan antara kanser paling utama di Malaysia dengan lebih 2,000 setiap pesakit baharu didiagnosis setiap tahun dan kebanyakan pesakit dikesan pada peringkat lewat.

Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk simposium perubatan dan program kesedaran awam yang dijajarkan dengan Bulan Kesedaran Kanser Darah sedunia bagi membina keyakinan terhadap penggunaan biosimilar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN