Tengku Hassanal tegur Persekutuan, bayang tindakan undang-undang

Tengku Hassanal tegur Persekutuan, bayang tindakan undang-undang

TENGKU Hassanal Ibrahim Alam Shah merasmikan Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahan, Kuantan, Pahang. -  UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan Kerajaan Persekutuan yang didakwa tidak memihak kepada hak dan kepentingan negeri ini.

Baginda bertitah, Kerajaan Pusat perlu lebih cakna terhadap hak negeri termasuk dalam soal hasil bumi, pelaksanaan projek serta bidang kuasa perundangan di negeri ini.

“Saya begitu kecewa apabila Kerajaan Pusat tidak meluluskan usaha Pahang untuk menambah hasil negeri seperti eksport pasir sungai memandangkan Pahang memiliki sungai terpanjang di semenanjung Malaysia. Sudah tentu banyak mendapan pasir yang perlu dikeluarkan agar kelancaran pengaliran air sungai berlaku seterusnya mengelakkan banjir.

“Sebelum ini, kita dapat menambah hasil negeri berpuluh-puluh juta ringgit dengan eksport pasir ke negara lain tetapi malangnya, Kerajaan Pusat tidak lagi membenarkannya sekarang ini sedangkan hasil tanah dan pasir ini adalah hak negeri,” titah baginda.

Tengku Mahkota Pahang bertitah demikian ketika Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Baginda bertitah, Kerajaan Persekutuan perlu meneliti semula perkara berkaitan hak Pahang dan mengembalikannya semula kepada negeri ini.

Malah, Tengku Hassanal turut memberi bayangan kemungkinan tindakan terhadap Kerajaan Persekutuan sekiranya perkara tersebut terus diketepikan.

“Janganlah satu hari nanti Pahang mengambil tindakan terhadap Kerajaan Persekutuan. Saya mohon Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri untuk kaji dengan teliti apa tindakan yang boleh kita ambil ke atas Kerajaan Persekutuan untuk perkara ini,” titah baginda.

Sementara itu, Tengku Hassanal  mahu Kerajaan Persekutuan memberikan lebih kuasa dan ruang kepada kerajaan negeri dalam pelaksanaan sesuatu projek di Pahang termasuk mengutamakan syarikat serta kontraktor tempatan.

Titah baginda, walaupun pelantikan kontraktor G7 boleh dibuat dari seluruh negara, keutamaan sewajarnya diberikan kepada syarikat berasal dari Pahang yang diakui berkelayakan dan kompeten.

“Saya mahu peluang seperti ini diberikan kepada anak-anak negeri Pahang untuk melaksanakan projek-projek,” titah baginda.

Sementara itu, Tengku Hassanal bertitah, Pahang adalah sebuah negeri berdaulat yang tidak memerlukan campur tangan mana-mana pihak luar dalam urusan perundangan negeri.

“Sebarang salah laku yang berlaku di negeri ini perlu diadili di mahkamah secara adil dan saksama. Tidak perlu campur tangan daripada mana-mana pihak untuk menegakkan perkara yang tidak betul,” titah baginda. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN