GEORGE TOWN: Tiada sebarang penyelewengan dikesan susulan aduan yang diterima oleh sekumpulan pengusaha kedai peralatan perikanan yang mendakwa tidak menerima bayaran berkaitan program baucar nelayan bernilai RM500,000 di bawah pejabat Exco negeri sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Datuk Rashidi Zinol berkata, dakwaan tersebut berpunca daripada isu dan kelewatan prosedur pembayaran antara agensi terlibat iaitu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri serta beberapa pihak kewangan negeri.
“Semakan mendapati, terdapat isu prosedur apabila sebahagian dokumen syarikat dikesan tidak lengkap, sekali gus melambatkan proses pembayaran kepada lapan syarikat yang terlibat.
“Daripada lapan syarikat ini pula, enam daripadanya dikenal pasti mempunyai dokumen lengkap dan layak dibayar terlebih dahulu manakala dua lagi masih belum lengkap dan kita telah maklumkan perkara itu untuk dilengkapkan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Beliau mengulas mengenai satu laporan polis yang dibuat hari ini di Balai Polis Jalan Patani oleh pengusaha kedai peralatan perikanan yang mendakwa tidak menerima bayaran berkaitan program baucar nelayan di bawah pejabat Exco negeri.
Mengulas lanjut, Rashidi berkata, berlaku situasi apabila dana daripada LKIM telah dipulangkan semula ke Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) sebelum proses pembayaran semula disusun mengikut prosedur.
“Kalau benar berlaku penyelewengan, duit tidak akan berpatah balik secara mudah. Ini jelas menunjukkan ia bukan penyelewengan, tetapi isu teknikal dan prosedur yang tidak dipatuhi sepenuhnya,” katanya.
Rashidi turut menafikan dakwaan bahawa pihak BPEN tidak memberi respon terhadap pertanyaan syarikat terlibat, sambil menjelaskan proses semakan dan pembayaran sedang diselaras secara berperingkat.
Beliau berkata, kerajaan negeri kini sedang mempercepatkan proses berkenaan dan menjangka pembayaran dapat diselesaikan selewat-lewatnya minggu hadapan selepas semua dokumen dilengkapkan. – UTUSAN









