Elak pisang berbuah dua kali - Utusan Malaysia

Elak pisang berbuah dua kali

KITA perlu memastikan situasi penduduk terputus bekalan makanan tidak berulang. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diadakan bulan depan adalah satu ujian berat buat semua pihak.

Malaysia masih berhadapan dengan wabak Covid-19, namun kehidupan perlu diteruskan seperti biasa. Kita perlu akur yang penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi mungkin tidak mampan lagi bagi ekonomi negara.

Di samping itu, suara rakyat menerusi pilihan raya juga perlu diambil kira kerana ia berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, penambahan negeri yang memasuki senarai fasa empat Pelan Pemulihan Negara termasuk Melaka juga dilihat sebagai tanda aras yang positif untuk pemulihan ekonomi dan memungkinkan PRN diadakan.

Namun, kita tidak boleh mengambil sikap lewa terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Kejayaan mengawal wabak yang dicapai setakat ini boleh bertukar menjadi kegagalan pada bila-bila masa.

Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat ketetapan, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November ini.

Oleh itu, adalah wajar untuk semua pihak mematuhi arahan KKM. Kita perlu belajar daripada kesilapan lampau.

Jangan benarkan kes positif dan kluster baharu wujud hanya kerana kepentingan peribadi sesetengah pihak.

Senario pisang berbuah dua kali mesti dielakkan. Perlu ingat, harga mahal yang harus dibayar jika kita alpa dalam perang menentang Covid-19.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdahulu terpaksa dilaksanakan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Tidak dapat dinafikan yang rakyat mengharungi tempoh kesusahan berikutan impak PKP ke atas ekonomi negara. Kita menyaksikan banyak perniagaan terpaksa tutup, malah ada keluarga terputus bekalan makanan.

Situasi tersebut boleh berulang dan menghantui kita sekali lagi jika tidak mematuhi SOP ketika PRN Melaka.

YEAP MING LIONG, Subang Jaya, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN