fbpx

Usah sekadar telur setengah masak

INSTITUSI kehakiman di negara ini yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat perlu dipastikan bebas daripada campur tangan politik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TAHNIAH kepada kerajaan dan sebahagian besar pembangkang atas termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu yang dilakukan demi kepentingan rakyat khususnya bagi membanteras isu berbangkit daripada pandemik Covid-19.

Ia boleh disifatkan sebagai pendekatan bersejarah kali pertama berlaku setelah 64 tahun negara mencapai kemerdekaan dan satu hadiah kepada rakyat yang menyambut Hari Malaysia pada 16 September lalu.

Bagaimanapun, diharapkan MoU berkenaan bukan sekadar bersifat indah khabar dari rupa atau telur setengah masak semata-mata.

MoU atau Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) berkenaan serta segala terma-termanya harus direalisasi dan dilaksanakan segera. Enam teras asasnya termasuk soal kebebasan kehakiman wajar diterjemahkan secara serius.

Tiada pihak yang layak untuk mendapat nama kerana inisiatif berkenaan adalah suatu persetujuan atas dasar tanggungjawab bersama demi kepentingan nyawa, kesihatan serta kebajikan rakyat.

Justeru, pihak terlibat diingatkan supaya bersikap ikhlas serta bebas daripada sebarang niat untuk mendapatkan keuntungan politik.

Sepatutnya keutamaan MoU tersebut adalah bagi mewujudkan aspek semak dan imbang demi kepentingan rakyat.

Jangan lagi dibangkitkan soal kekurangan majoriti di pihak kerajaan.

Ini kerana rakyat berbilang kaum berada dalam kerugian selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bukan sahaja berpunca kerana bencana pandemik Covid-19, malah lebih malang lagi disebabkan menjadi mangsa kerakusan sandiwara pihak yang tamak kuasa politik.

Jika wujud keperluan untuk menambah baik MoU bagi mengekang penularan Covid-19 melalui kerjasama rentas parti, langkah itu amatlah dihargai.

RAHMAD ISAHAK, Aktivis politik.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN