fbpx

16 Oktober 2021, 10:08 am

  TERKINI

Hentikan ‘sengsara’ lapisan ozon

MELINDUNGI lapisan ozon merupakan tanggungjawab bersama dalam memastikan tahap kesihatan penduduk dunia terus terjaga. -GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

EMPAT dekad lalu, saintis memberi amaran betapa seriusnya kesan penipisan lapisan ozon yang boleh memudaratkan kesihatan sekiranya isu ini terus diabaikan. Mujurlah masyarakat global termasuk  Malaysia bergerak sejajar dengan perjanjian dimeterai pada 1985, iaitu Konvensyen Vienna untuk Melindungi Lapisan Ozon dan Protokol Montreal untuk Kawalan Bahan Penipis Lapisan Ozon pada 1987. 

Hasil kawalan penggunaan bahan kimia penipis lapisan ozon seperti kluorofluorokarbon (CFCs), hidroklorofluorokarbon (HCFCs), halons, karbon tetraklorida, metil kloroform dan metil bromida telah berjaya mengelak malapetaka radiasi yang lebih memudarat akibat kerosakan lapisan ozon. Pemerhatian saintifik juga menunjukkan pengurangan bahan kimia yang biasa digunakan untuk aplikasi refrigerasi, penyaman udara dan aerosol menunjukkan kesan positif lapisan ozon  berjaya dipulihkan. 

Bagaimanapun, pengurangan bahan kimia penipis lapisan ozon tersebut menyebabkan peningkatan penggunaan gas berfluorin (Gas F). Ini telah mewujudkan masalah baharu kerana gas-gas seperti perfluorocarbons (PFCs) dan sulfur heksafluorida (SF6) merupakan sejenis gas rumah hijau. Lebih membahayakan, kelompok Gas F ini memberi impak negatif yang lebih besar terhadap perubahan iklim berbanding gas rumah hijau  iaitu karbon dioksida. Sejak 1990-an, peningkatan penggunaan kelompok Gas F  amat merisaukan dan kini penggunaannya dikawal selia oleh Konvesyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCC) serta Protokol Kyoto.

Sempena Hari Perlindungan Lapisan Ozon Sedunia pada 16 September lalu, marilah kita  berganding untuk melindungi lapisan ozon, iaitu lapisan perisai gas pelindung nipis sekitar 15 hingga 30 kilometer dari permukaan bumi yang sentiasa melindungi hidupan dunia daripada komponen radiasi berbahaya matahari.

Ia dapat dilakukan dengan memastikan penggunaan produk mesra ozon atau bebas CFCs. Di samping itu, hanya guna refrigerasi, peti sejuk dan penyaman udara yang disahkan pihak berkuasa sebagai mesra ozon.

Sejak pandemik Covid-19, masyarakat mula bercucuk tanam di kawasan rumah. Sungguhpun ia merupakan usaha, namun pastikan bahan fumigasi dan baja yang digunakan tidak mengandungi metil bromida. Ini kerana ia akan menjadi produk tidak mesra ozon  jika digunakan secara berlebihan selain  elakkan membakar daun-daun kering dan sampah secara terbuka.

Terakhir, utamakan penggunaan kenderaan awam atau pastikan kenderaan yang dipandu adalah efisien penggunaan bahan api dan jika berkemampuan, miliki kenderaan hibrid atau yang boleh menggunakan biobahan api.

Walaupun cabaran melindungi muka bumi di tangan kita, namun  keputusan secara kolektif dan tindakan masyarakat berpandukan maklumat saintifik dapat menjadi ikhtiar dan jalan terbaik menyelesaikan cabaran  besar dan berskala global. 

PROFESOR MADYA DR. ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES, Universiti Malaya

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN