fbpx

17 Oktober 2021, 9:40 pm

  TERKINI

Elak sekolah sebar Covid-19

PEMATUHAN prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang sesi persekolahan membolehkan pelajar menguasai pembelajaran sekali gus mengelakkan daripada keciciran ilmu. -UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUKA atau tidak, sesi pembelajaran bersemuka perlu diteruskan demi kelangsungan ilmu pelajar. Ancaman Covid-19 belum berakhir, namun segala langkah dan strategi diambil oleh kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan bagi membolehkan sesi persekolahan dibuka secara berfasa atau berperingkat.

Pelbagai pandangan dilontarkan demi masa depan pelajar. Mengambil setiap pandangan dengan menilai baik dan buruknya, maka para pelajar perlu hadir ke sekolah dengan pematuhan peraturan yang ketat bagi mengelakkan mereka tercicir dalam pembelajaran. 

Vaksinasi kepada semua guru sebagai benteng pertahanan hadapan adalah pencegahan dan ikhtiar. Ini juga menjadi jaminan dan kepercayaan ibu bapa untuk keselamatan anak-anak yang akan bersekolah. 

Dalam pada itu, vaksinasi kepada pelajar juga merupakan satu keperluan kerana mereka adalah rantaian sosial. Sebarang jangkitan kepada pelajar adalah musibah kerana sekolah adalah tempat berhimpun atau berkumpul pada skala besar. Sekolah tidak boleh dijadikan kluster penyebaran virus akibat kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tanggungjawab pihak sekolah dan ibu bapa atau penjaga dituntut untuk mengekang penyebaran virus sekali gus membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan seperti  biasa. 

Pelajar yang kurang sihat dan bergejala sewajarnya dihantar ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Begitu juga warga pendidik perlu prihatin terhadap status kesihatan diri.

Tahap kesedaran awam tarhadap jangkitan Covid-19 perlu diberi perhatian serius kerana peranan dan tanggungjawab pihak sekolah semakin berat demi memastikan sekolah sebagai zon bebas jangkitan Covid-19.

Kita tidak mahu menjadi pencetus masalah dan  menuding kepada mana- mana pihak jika berlaku jangkitan. Oleh itu, kita perlu mengambil iktibar dan pengajaran sebelum berlaku sesuatu kes. Semua pelajar perlu mengambil peluang dalam sesi pembelajaran bersemuka tanpa pengabaian SOP sebagai tanda bersyukur dapat kembali ke sekolah.

TUMIN YATMAN, Pengetua Cemerlang, SMK Seri Machap, Simpang Renggam, Johor

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN