Suara rakyat jadi data untuk sains

Suara rakyat jadi data untuk sains

PEMERHATIAN masyarakat mampu menjadi sumber ilmu apabila data dikumpul, diurus dan dipelihara dengan baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali jerebu kembali menyelubungi langit, kita biasanya melihat angka bacaan kualiti udara, peta kawasan terjejas dan amaran kesihatan.

Di sebalik itu, terdapat satu lagi bentuk maklumat yang sering terlepas daripada perhatian, iaitu apa yang sebenarnya diperhatikan oleh masyarakat di sekeliling mereka.

Bayangkan setiap kali berlaku pembakaran hutan yang mencetuskan jerebu, seorang penduduk di kawasan berhampiran mencatat perubahan yang berlaku di persekitarannya. Selain keadaan udara dan tempoh jerebu, dia mungkin menyedari beberapa spesies burung yang lazim dilihat semakin jarang kelihatan, manakala spesies tertentu pula muncul di kawasan berbeza.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada satu-satu masa, pemerhatian tersebut kelihatan seperti catatan kecil yang tidak membawa banyak makna. Namun, apabila rekod itu dikumpulkan secara berterusan dan dibandingkan dengan pemerhatian dari tahun-tahun sebelumnya, perubahan pada taburan atau kehadiran spesies burung dapat memberikan gambaran tentang perubahan habitat serta ekosistem yang berlaku selepas sesuatu kawasan mengalami gangguan.

Di sinilah konsep sains rakyat boleh dilihat dari sudut yang sedikit berbeza. Bukan sekadar sebagai satu kaedah untuk mendapatkan lebih banyak data, sains rakyat membuka peluang untuk menjadikan pemerhatian harian masyarakat sebagai sebahagian daripada rekod pengetahuan.

Nilai sesuatu pemerhatian bukan terletak pada jumlahnya semata-mata tetapi pada konteks yang mengiringinya. Tarikh, lokasi, keadaan persekitaran dan kaedah pemerhatian menentukan sejauh mana sesuatu rekod boleh difahami dan digunakan semula.

Persoalannya, siapa yang memastikan rekod tersebut tidak hilang?

Kita sering menganggap semua maklumat akan kekal dalam arus perdana ini kerana semuanya boleh disimpan dalam komputer atau storan awan. Hakikatnya, data tanpa pengurusan teratur boleh menjadi sukar untuk ditemui, kehilangan konteks atau tidak lagi difahami oleh orang lain.

Rekod yang tidak mempunyai tarikh, lokasi, kaedah pengumpulan atau penerangan yang jelas mungkin kehilangan sebahagian daripada nilainya apabila digunakan pada masa hadapan.

 

PERANAN PERPUSTAKAAN

Di sinilah perpustakaan boleh memainkan peranan yang lebih luas dalam sains rakyat.

Perpustakaan bukan sahaja membantu memastikan rekod disimpan tetapi turut memastikan maklumat tersebut mempunyai konteks, mudah ditemui dan boleh digunakan semula apabila diperlukan.

Dalam konteks ini, perpustakaan boleh dilihat sebagai penjaga memori ilmu masyarakat.

Gambar yang diambil di sesuatu kawasan, pemerhatian terhadap spesies atau catatan keadaan persekitaran mungkin kelihatan biasa ketika direkodkan. Namun, selepas lima atau 10 tahun, bahan tersebut boleh membantu menjawab persoalan yang sebelum ini belum timbul.

Data yang dikumpulkan hari ini berpotensi menjadi titik perbandingan untuk memahami perubahan yang berlaku pada masa hadapan.

Akan tetapi, sebelum sesuatu pemerhatian boleh berkembang menjadi pengetahuan yang bernilai, data tersebut perlu mempunyai asas yang boleh dipercayai. Di sinilah sains rakyat bukan sekadar tentang mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat tetapi juga tentang bagaimana masyarakat memahami proses pengumpulan dan kualiti data yang dihasilkan.

Penyelidik membawa persoalan kajian, kaedah dan kepakaran saintifik, manakala komuniti membawa pengalaman serta pengetahuan tempatan. Gabungan kedua-duanya membolehkan pemerhatian masyarakat dikumpulkan dengan lebih teratur dan mempunyai konteks yang jelas.
Masyarakat juga perlu memahami bagaimana pemerhatian dikumpulkan, direkodkan dan dinilai supaya data yang dihasilkan mempunyai asas lebih kukuh.

Walau bagaimanapun, penglibatan masyarakat dalam sains tidak bermaksud semua data yang dikumpulkan boleh diterima tanpa semakan. Kualiti data tetap menjadi keutamaan. Komuniti perlu diberikan pendedahan dan latihan, termasuk cara mengenal pasti spesies, merekod lokasi dan bilangan pemerhatian serta menggunakan aplikasi yang sesuai.

Platform seperti iNaturalist dan eBird, misalnya, membolehkan masyarakat berkongsi pemerhatian yang kemudiannya melalui proses semakan dan pengesahan.

Sains rakyat tidak seharusnya berakhir apabila aktiviti pengumpulan data selesai. Data perlu melalui satu kitaran yang membolehkannya didokumentasikan, ditafsir, dikongsi dan dipelihara sebelum kembali dimanfaatkan oleh masyarakat.

Dalam hal ini, perpustakaan boleh bergerak daripada sekadar mengurus bahan kepada mengurus kitaran hayat pengetahuan.

Kitaran ini bermula daripada masyarakat, berkembang menjadi data dan pengetahuan, sebelum kembali semula kepada masyarakat dalam bentuk ilmu yang boleh dimanfaatkan.

Di sinilah peranan perpustakaan menjadi penting, bukan sekadar menyimpan rekod tetapi menerajui perjalanan data sehingga menjadi pengetahuan yang terus memberi nilai kepada masyarakat.

Pendekatan ini boleh diterjemahkan melalui prinsip 5C iaitu menghubungkan (connect), kerjasama (collaborate), mencipta (create), komunikasi (communicate) dan memelihara (conserve).

Menghubungkan bermaksud perpustakaan perlu membina hubungan dengan agensi, institusi, organisasi dan komuniti luar bagi membuka lebih banyak ruang kerjasama serta penglibatan dalam sains rakyat.

Kerjasama pula boleh melibatkan antara perpustakaan dengan penyelidik, fakulti, agensi dan komuniti yang mempunyai kepakaran serta pengalaman berbeza.

Mencipta melihat bagaimana perpustakaan boleh menyediakan platform atau repositori untuk menghimpunkan, mengurus dan memperkembangkan data yang dikumpulkan masyarakat menjadi pengetahuan yang bernilai, sekali gus membuka peluang untuk pengetahuan tersebut memberi impak kepada bidang dan profesion.

Komunikasi memastikan pengetahuan yang terhasil dapat disebarluaskan kepada komuniti dan pihak berkepentingan melalui pelbagai saluran, manakala memelihara memastikan data, rekod dan pengetahuan tersebut dipelihara supaya terus tersedia dan boleh dimanfaatkan pada masa hadapan.

Pada akhirnya, sains rakyat bukan sekadar tentang burung, tumbuhan atau alam sekitar. Ia tentang memberikan ruang kepada masyarakat untuk bersuara dalam penghasilan ilmu.

Penyelidik perlu keluar daripada makmal, perpustakaan pula perlu keluar daripada peranan yang terlalu statik, manakala masyarakat perlu diberi peluang untuk menyumbang berdasarkan pengalaman dan pengetahuan mereka.

Sains perlu keluar daripada makmal dan kembali kepada masyarakat kerana masyarakat bukan sekadar pengguna ilmu, tetapi juga sebahagian daripada pencipta ilmu. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Pustakawan, Perpustakaan M. Kamal Hassan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini