Modal isu ‘sakau’, apa intipati kejayaan PH? - Utusan Malaysia

Modal isu ‘sakau’, apa intipati kejayaan PH?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, DATUK NUR JAZLAN MOHAMED membangkitkan persoalan tindakan parti lawan yang semakin kerap memainkan naratif melabel UMNO sebagai parti korup dan sakau.

Namun masih bergantung harap kepada parti yang dicerca untuk membentuk kerajaan, selain turut mempersoal apa kejayaan yang sudah dibawa parti Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dibantu jurufoto FAUZI BAHARUDIN dan juruvideo, MUHAMMAD FARIS MD IDERIS, Timbalan Speaker Dewan Negara itu turut menyentuh kerjasama UMNO dan Pas dalam menghadapi pilihan raya termasuk menggesa agar UMNO diberikan satu pertiga kerusi di negeri ditadbir Pas, sekali gus membolehkan agenda penyatuan Melayu dijayakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau turut bersetuju untuk UMNO menjadi peneraju dalam kerjasama dengan Pas, selain sependapat dengan pandangan Dr. Ong Kian Ming bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri.

ORANG MELAYU PEMANGKIN KESTABILAN
MINGGUAN MALAYSIA: Datuk menyebut kerjasama dan penyatuan antara UMNO dan Pas untuk meraih sokongan pengundi Melayu kekal sebagai antara teras utama kestabilan politik negara. Apakah Datuk maksudkan dengan kenyataan tersebut?
Isu ini berteraskan kepada demografi negara ini. Kalau kita lihat kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan orang Melayu di Malaysia sekarang jumlahnya lebih kurang 63 peratus, Cina tinggal 20 peratus, India enam peratus dan lain-lain 11 peratus.

Jadi sudah tentu dan nampak jelas bahawa jumlah orang Melayu akan menjadi pemangkin kepada kestabilan politik di negara ini. Sebab itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO telah melontarkan idea Rumah Bangsa yang nampaknya ada kejayaannya.

Di mana orang Melayu perlu sedar mereka tidak boleh berpecah, ini tidak akan menguntungkan negara kerana selama ini pun penyatuan antara orang Melayu yang menjadi teras kepada kestabilan politik negara dan juga kepada pembangunan negara yang begitu besar sehingga 2018.

Sekarang ini kalau kita lihat politiknya sudah kucar kacir sedikit apabila bangsa Melayu sebagai bangsa utama yang menjadi teras kepada politik negara ini sudah terancam. Jadi, apabila Ahmad Zahid mengutarakan konsep Rumah Bangsa tersebut, maka ia telah berjaya untuk memberikan kesedaran kepada orang Melayu dan orang Melayu perlu menjadi bangsa yang memimpin negara ini.

Kita lihat, walaupun sekarang ini kejayaan penyatuan ummah melalui penyatuan bangsa ini mempunyai hasil yang kurang jelas trendnya.

Di PRN Johor, kita masuk dengan solo dan menang besar. Di Negeri Sembilan, kita buat perjanjian dengan Pas. Di Melaka ini pula, nampaknya kita masih belum dapat formula yang terbaik untuk PRN Melaka. Tapi saya yakin Ketua Menteri Melaka akan membuat penilaian kepada strategi ini berdasar kepada statistik yang ada.

UMNO PIMPIN KERJASAMA
Dalam persefahaman antara UMNO dan Pas, jadi siapa yang memimpin dan siapa yang perlu dipimpin?
Jelas di Johor, UMNOlah. Di Negeri Sembilan pun, walaupun kita tidak pegang kerajaan (sebelum ini) tapi kita boleh berkongsi kerusi dan UMNO nampaknya menjadi kepercayaan, jadi Menteri Besar.

Di Melaka pun, sebenarnya penilaian akan dibuat pada kerajaan yang ditadbir oleh Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kerana dia Ketua Menteri. Seperti di Johor, orang Melaka akan menilaikan prestasi Datuk Rauf itu macam orang menilai prestasi Datuk Onn Hafiz di Johor.

Menghadapi PRU16, untuk kerjasama ini, Datuk melihat ada kemungkinan diteruskan persefahaman antara UMNO dan Pas?
Itu yang saya kata tadi, ia belum lagi mencapai kepada satu trend yang berkekalan, yang boleh diulang pakai di setiap pilihan raya.

Sekarang ini masih lagi dari PRN ke PRN. Tapi saya jangka juga bahawa formula ini kalau boleh dicapai kesepakatan maknanya berapa banyak kerusi yang hendak dibahagikan antara parti-parti yang mendukung.

Penyatuan Melayu ini akan menghasilkan jumlah kerusi besar yang mampu memberikan majoriti mudah 112 pada pilihan raya akan datang dan akan menjadi tunggak kepada pembentukan kerajaan akan datang.

Saya rasa kerajaan di Sabah dan Sarawak pun akan melihat pada perkara ini sama ada siapa parti yang akan dapat membentuk majoriti di peringkat Pusat.

PAS GUNA LOGO DACING
Bagaimana Datuk melihat tahap kesanggupan Pas untuk menggunakan logo dacing dalam PRN Melaka?
Beginilah, ramai orang Melayu pun agak alergik kepada logo bulan itu, yang bukan Melayu lagilah tolak. Sekarang ini apabila logo PN telah digantung penggunaannya jadi Pas terperangkap dengan logo bulan tu sendiri dan melihat peluang mereka lebih baik kalau mereka gunakan logo BN.

Tapi kita pula hendak hentikan kekeliruan yang berlaku selama lapan tahun ini pada warna logo apabila PN dibentuk pada 2018 itu.

Jadi, saya rasa yang pentingnya pembahagian kerusi itu mesti memihak pada UMNO.

Kepimpinan negeri mestilah orang UMNO. Kalau Pas dapat terima perkara ini, maka saya rasa kita boleh buat kerjasama itu tanpa ada kekeliruan hendak gunakan logo mana pun.

Kalau orang UMNO betul-betul yakin dengan sokongan Pas, pakai logo bulanpun orang kita akan sokong.

SATU PERTIGA KERUSI UNTUK BN DI NEGERI PAS

Jika kerjasama antara UMNO dan Pas berterusan bagi PRN negeri lain dan PRU16, adakah soal pembahagian kerusi akan jadi masalah berbangkit?
Itu pertimbangan yang perlu dibuat kepimpinan Pas, mereka ada 100 peratus kerusi di Terengganu dan hampir 100 peratus di Kedah, Kelantan dan Perlis. Soalan pertama saya apakah Pas perlu ada banyak kerusi sampai 100 peratus? Dua pertiga pun sudah cukup.

Beza dua pertiga (BN) di Johor, pelabur datang berduyun-duyun kerana yakin dengan BN

Di Terengganu, yang juga negeri yang kaya dengan minyak, tidak ada orang kata pelabur asing berduyun-duyun datang ke negeri itu.

Jadi, Pas perlu buat pertimbangan ini. Mereka tidak perlu 100 peratus (bertanding semua kerusi), hanya perlu dua pertiga. Kalau mereka hendak kuat pun, jadi apa salahnya kalau satu pertiga kerusi itu diserahkan kepada rakan-rakan UMNO-nya di negeri-negeri tersebut.

Baru nampak ada keyakinan dan juga kepercayaan kepada keikhlasan Pas sendiri dalam penyatuan Melayu ini.

Jika bertanding di negeri ditadbir Pas dan perlu menggunakan logo Pas, bolehkah perkara itu diterima BN?
Itu terpulang kepada keadaan politik semasa. Beginilah, macam saya katakan tadi, pilihan raya sekarang ini adalah ditentukan oleh demografi dan juga emosi pengundi pada ketika itu.

Kalau demografinya Melayu, emosinya mahukan cara Melayu, pakai logo apa pun, orang Melayu akan undi calon-calon Melayu. Jadi, belum sampai masa untuk kita hendak bincang mengenai perkara tersebut. Biarlah selangkah demi selangkah.

UMNO LEMBUTKAN IMEJ PAS DI MATA PENGUNDI BUKAN MELAYU
Apakah kerjasama UMNO-Pas ini boleh menjejaskan sokongan dan undi orang Cina, yang masih ada stigma negatif terhadap imej parti ‘pak lebai’ Pas?
Masalah utama pengundi bukan Melayu dengan Pas ini adalah mereka tidak yakin bahawa mereka akan diberikan kebebasan untuk menjalani kehidupannya.

Saya rasa orang Pas ini boleh jadi fleksibel juga. Tapi fleksibel mereka adalah dipengaruhi oleh kerjasama dengan UMNO. Jadi, UMNO main peranan besar dalam melembutkan imej Pas pada masa akan datang.

Tadi saya katakan sokongan orang Cina di Johor, nampaknya kembali 20 peratus yang saya sudah buat kajiannya. Kenapa? Ini kerana mereka yakin dengan kepimpinan UMNO di Johor yang menghasilkan kebangkitan ekonomi dan juga memberikan peluang pekerjaan dan perniagaan pada orang bukan Melayu.

Sebab itu, pengundi bukan Melayu praktikal terutama masyarakat Cina yang melihat jika parti politik boleh memberikan kehidupan dan kesejahteraan lebih baik, mereka akan memilih. Walaupun banyak prejudis yang telah dilekatkan kepada parti macam UMNO dan juga parti macam Pas.

LABEL UMNO ‘SAKAU’
Pandangan Datuk apabila ada pihak yang semakin kerap melabel UMNO sebagai parti ‘sakau’, apa langkah UMNO untuk menangkis naratif ini?
Orang Melayu melihat UMNO sebagai parti memperjuangkan kepentingan mereka. Jadi, ramai antara mereka yang telah terpedaya dengan isu sakau ini, tambah lagi dengan isu 1MDB yang sudah berlalu, dan nampaknya rakyat kembali sokong pada UMNO. Apa yang mereka hendak lihat adalah penyatuan Melayu di bawah UMNO.

Kedua, saya pernah minta PH dan juga DAP, minta maaf pada UMNO, pada PRN Mahkota di Johor dua tahun lepas. Kerana saya mengatakan banyak sangat tohmahan dan tuduhan yang telah dilemparkan kepada UMNO yang menampakkan UMNO ini korup.

Pada 2018, PH ada majoriti mutlak untuk mereka memerintah tapi tidak tahan lama, dua tahun sahaja. Lepas itu, Pilihan Raya 2022, tidak cukup kerusi, UMNO juga yang mendukung, tapi kemudian kata UMNO ini sakau dan sebagainya, tapi pada waktu yang sama, mereka memerlukan UMNO untuk mengukuhkan kerajaan. Jelas yang nampak buat kerja pun kebanyakan menteri UMNO.

Apakah UMNO ini layak diberi label ‘sakau’? Baru-baru ini didakwa bahawa Tabung Haji dengan Felda rugi besar, tapi apabila tiba pendakwaan kes yang didakwa hanya melibatkan jumlah RM1 juta. Dakwaan yang dibuat itu jumlahnya sedikit seolah macam diada-adakan pendakwaan tersebut untuk memburukkan imej UMNO. Jadi, itu maksud saya, adakah UMNO layak diberi imej sakau ini?

TUDUHAN PH TIDAK PATUT
Apakah pihak lawan terdesak dan akan terus menggunakan isu sakau ini sebagai modal mereka?
Apakah intipati kejayaan PH? Tuduh UMNO korup dan sekarang ada perkataan baru pula, sakau.

Sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan ini tidak patutlah, tapi maknanya mereka sudah tidak ada isu lain yang mereka boleh lemparkan kepada UMNO, melainkan isu korup dan isu yang dibawa ini sudah berlaku 10, 15 tahun dulu mahu dibawa kembali, dibangkitkan semula. Ada setengah isu itu sudah masuk mahkamah pun.

Baru- baru ini, timbulkan isu kata ada perbezaan dalam perbelanjaanKementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan bajet.

Ini bagi orang yang faham dan saya pun pernah duduk dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalannya ketika di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bajet itu diluluskan oleh Parlimen, tapi ada item yang mungkin boleh ditukar kerana projek itu belum dilaksanakan, duit itu boleh dipindahkan dengan kebenaran Kementerian Kewangan (MoF), bukan boleh main pindah-pindah sahaja. Ada yang bajet kecemasan, contoh untuk masalah banjir.

Sama ada kementerian kewangan bagi duit langsung ataupun bajet dalam kementerian itu sendiri diubah suai untuk menyelesaikan masalah kecemasan itu dulu.

Tapi apa dia tuduh? Ada salah guna kuasa, ada rasuah dan sebagainya. Tapi akhirnya, kena ada (kelulusan) MoF sebelum apa-apa pembayaran dibuat. Kementerian Kewangan bukan di bawah Ahmad Zahid.

Sebab itu, beliau cakap pasal kementerian, mengenai ada bayaran kepada kontraktor sengaja dilambat-lambatkan, oleh siapa? Bukan kementeriannya tapi Kementerian Kewangan. Jadi, wajarkah apabila ada yang tuduh Ahmad Zahid, umpama ambil rasuah, sedangkan keputusan kelulusan kewangan di bawah MoF?

Ini cubaan beri gambaran Menteri UMNO atau kementerian yang dipimpin oleh UMNO ini tidak telus.

SETUJU DENGAN ONG KIAN MING, ZAHID CALON PM
Menghadapi PRU 16, mungkin Datuk melihat siapa calon sesuai untuk poster boy jika kerjasama BN dan Pas ini terjalin?
Saya setuju dengan pandangan Dr. Ong Kian Ming. Dia kata kalau dalam keadaan ini kita bergabung, masuk pilihan raya, UMNO kurang kerusi daripada Pas pun.

Pas kena fikir siapa yang akan jadi Perdana Menteri kerana ini jawatan berat.

Dulu masa Pas ketengahkan pemimpinnya jadi menteri pun banyak kontroversi. Saya tidak payah petik nama menteri-menteri Pas yang tidak diminati rakyat itu.

Hendak jadi Perdana Menteri, calon yang terbaiknya ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dengan pengalaman beliau dan kecekapan politik beliau.

UMNO dari 2018 kalah, sedikit demi sedikit beliau (Ahmad Zahid) atur, kita masuk balik dalam kerajaan dan sekarang ini UMNO pula digeruni akan kembali semula menjadi kerajaan.

Bawah kepimpinan siapa? Kepimpinan Ahmad Zahid. Jadi, beliau ada pengalaman politik, pengalaman pentadbiran, ada stature-nya. Tapi masalahnya, beliau tetap diserang dengan tuduhan macam-macam.

RAKYAT SELANGOR SUDAH MUAK
Datuk bersetuju dengan pandangan Dr. Ong Kian Ming bermakna Datuk percaya Selangor juga akan tumbang?
Masa pilihan raya ini terpulang kepada emosi rakyat pada ketika itu. Apa yang jelas sekarang ini adalah PKR bersama PH telah memimpin Selangor selama 20 tahun.

Rakyat pun sudah mula muak, Shah Alam sudah penuh dengan lopak-lopak di jalan, masalah banjir tidak selesai dan sebagainya.

Jadi, kalau rakyat zaman sekarang ini tahap kesabaran dia lebih kurang daripada zaman dulu dan mereka hendak hasil dalam jangka masa yang cepat dan muak pun sudah ada.

Jadi, untuk saya memang kalau ikut bacaan politik biasa PKR, PH patut kalah pada pilihan raya yang akan datang ini.

Cuma politik ini macam saya katalah, politik Malaysia ini sudah balik semula kepada politik identiti, politik agama, ini ciri-cirinya dan akhirnya macam saya kata tadi dicampur-aduk dengan kurang kesabaran pengundi ini, mereka hendak keputusan, hasil yang cepat.

Maka ini akan menyebabkan masuk pilihan raya nanti, rakyat akan memilih secara emosi dan bukan objektif, saya tak salahkan mereka.

Saya berharap pada pilihan yang akan datang ini, jangan risau pada Pas. Kalau UMNO mahu gabung dengan Pas, jangan risau, kerana UMNO akan jadi penawar kepada Pas. Yang mana kita akan memimpin Kerajaan Perpaduan Melayu ini kalau diberi peluang.

DAP KEMBALI JADI PEMBANGKANG
Kebelakangan ini, kita melihat beberapa isu membabitkan pemimpin DAP. Ada yang berhasrat untuk meletakkan jawatan, ada juga yang mendesak supaya reformasi institusi disegerakan oleh kerajaan. Bagaimana Datuk melihat tindak-tanduk pemimpin DAP dalam kerajaan ketika ini?
Pada pandangan saya, DAP pada asalnya muncul dalam kalangan masyarakat Cina yang merasakan mereka kurang mendapat peluang.

Kemudian, parti ini menarik golongan profesional dan individu berpendidikan tinggi untuk menyertainya bagi menampilkan imej sebagai sebuah parti yang progresif.

Namun begitu, antara strategi DAP untuk memenangi pilihan raya adalah dengan mengkritik dan memburukkan BN.

Berdasarkan perkiraan saya, DAP berkemungkinan akan kembali menjadi pembangkang kerana di situlah sebahagian besar masyarakat Cina melihat peranan dan nilai parti itu sebagai pembangkang yang kuat.

Masyarakat Cina juga bersikap praktikal. Mereka akan melihat pihak mana yang mampu memberikan manfaat kepada mereka. Tidak mustahil suatu hari nanti kerajaan diterajui oleh BN bersama-sama Pas, manakala DAP kembali menjadi pembangkang yang kuat.

Pendek kata, apabila seseorang sudah selesa memegang jawatan menteri, bukan mudah untuk melepaskannya.

Kita pernah melihat bagaimana pemimpin yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam negara berhadapan dengan kesukaran untuk melepaskan kuasa apabila berhasrat untuk kembali memegang jawatan tersebut.

‘HANTU’ DALAM SISTEM KITA
Dalam isu Rohingya, rakyat semakin tidak berpuas hati dengan jumlah mereka semakin bertambah di Malaysia. Sebagai bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, benarkah pernah dicadangkan satu kawasan khusus bagi memudahkan pemantauan dan kawalan?

Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951, tetapi kita tetap membantu atas dasar kemanusiaan.

Kita pernah melakukan perkara yang sama terhadap pelarian Vietnam pada 1970-an dengan menempatkan mereka di Pulau Bidong sebelum negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan negara-negara Eropah bersetuju menerima mereka untuk penempatan semula.

Namun, isu Rohingya lebih rumit kerana sehingga kini masih sukar mendapatkan negara yang bersedia menerima mereka. Dalam masa sama, jumlah mereka di Malaysia semakin meningkat, malah sudah terdapat generasi kedua yang membesar di sini.

Antara langkah yang pernah dicadangkan adalah menyelaraskan pangkalan data UNHCR dengan pihak berkuasa Malaysia bagi membolehkan identiti dan status mereka dikenal pasti serta dipantau dengan lebih berkesan. Hal ini penting kerana individu yang tidak berdaftar boleh menimbulkan cabaran dari sudut penguatkuasaan dan keselamatan negara.

Penempatan di kem khusus mungkin menimbulkan bantahan daripada pihak antarabangsa atas alasan hak asasi manusia. Selain itu, timbul persoalan tentang kos pengurusan kem dan pihak yang akan menanggungnya.

Pada pandangan saya, penyelesaian jangka panjang perlu dicari melalui penghantaran pulang atau penempatan semula di negara ketiga.

Namun, Myanmar tidak mahu menerima mereka kembali, Bangladesh tidak mahu, manakala negara-negara lain juga belum menunjukkan kesediaan.

Selagi tiada negara bersedia menerima mereka, Malaysia perlu berhadapan dengan cabaran menguruskan isu ini, termasuk aspek pendaftaran, pemantauan dan keselamatan negara. Penyelesaian jangka panjang perlu bermula dengan mengenal pasti identiti dan status mereka supaya tiada individu yang berada di luar sistem pemantauan pihak berkuasa. Kita tidak mahu mereka jadi ‘hantu’ dalam sistem kita. Tapi ‘hantu’ ini rakyat sudah nampak. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini