SAYA mengucup Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali buat kali terakhir dan berada di situ sepanjang urusan pengebumian beliau.
Di sebelah saya duduk Tun Dr. Mahathir Mohamad, lelaki yang telah berkongsi 70 tahun kehidupannya bersama beliau. Melihat beliau berduka atas kehilangan isteri tercinta sungguh meruntun hati.
Malaysia telah kehilangan seorang wanita yang luar biasa. Tun Hasmah menjadi teladan melalui pengabdiannya kepada keluarga, khidmatnya kepada negara, serta kelembutan dan keanggunan beliau dalam memikul kedua-dua tanggungjawab itu. Beliau meninggalkan contoh untuk kita teladani. Saya pula kehilangan seseorang yang menyayangi saya seperti anaknya sendiri.
Saya memanggil beliau Mummy. Beliau memanggil saya sayang.
Ada satu perkara tentang beliau yang akan sentiasa saya ingati: Seutas jam tangan.
Ketika ayahanda saya menjadi Yang di-Pertuan Agong, dari 1984 hingga 1989, baginda menghadiahkan Tun Hasmah seutas jam tangan.
Berpuluh-puluh tahun kemudian, apabila saya menjadi Raja Permaisuri Agong, saya menyedari bahawa beliau memakainya setiap kali kami bertemu dalam majlis di istana atau majlis kerajaan.
Ketika itu, penglihatan beliau sudah lemah, tetapi jam tangan pemberian ayahanda saya tetap berada di pergelangan tangannya.
Saya akan berbisik, “Hadiah ayahanda saya.” Beliau akan tersenyum. Berkali-kali beliau memakainya apabila bertemu saya. Barangkali beliau tahu betapa besarnya makna jam itu bagi saya.
Beliau mengenang dan menghormati ayahanda saya, sambil memberitahu puteri baginda bahawa beliau masih mengingatinya. Perbuatan kecil tanpa kata-kata itu menyentuh jiwa saya.
Tun Dr. Mahathir pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri ketika ayahanda saya menjadi Yang di-Pertuan Agong. Beliau menjadi Perdana Menteri sekali lagi ketika suami saya, Al-Sultan Abdullah, memegang jawatan yang sama.
Saya berkahwin ketika ayahanda menjadi Yang di-Pertuan Agong, dan suatu ketika dahulu, suami saya dan saya hanyalah pasangan muda yang menyaksikan generasi lebih tua itu memikul tanggungjawab mereka.
Kemudian, tahun demi tahun berlalu, dan kami pula berada di tempat mereka. Betapa indahnya Allah mengatur perjalanan hidup kita, adakalanya dengan cara yang tidak pernah kita jangkakan.
Saya mengenali Tun Hasmah sejak saya masih seorang puteri muda yang mengiringi bonda ke majlis-majlis baginda sebagai Raja Permaisuri Agong.
Dalam satu acara Pandu Puteri, kami berkongsi sebiji kek: 5 Ogos ialah hari lahir saya dan juga ulang tahun perkahwinan beliau.
Selepas perkahwinan saya di Johor, ketika Presiden Suharto datang melawat, Tun Hasmah meminta saya menunjukkan busana pengantin saya kepadanya.
Busana itu diperbuat daripada songket Brunei dan dihiasi dengan sulaman manik yang sarat oleh Yayasan SUPPORT Ratu Sirikit di Istana Chitralada, Thailand, di bawah seliaan Ratu Sirikit sendiri.
Saya masih ingat betapa telitinya Tun Hasmah menaruh minat pada setiap perinciannya.
Baru-baru ini, pada Hari Malaysia, saya melihat gambar dua orang kanak-kanak yang berpakaian menyerupai Tun Hasmah dan saya, masing-masing memegang potret wanita yang mereka wakili.
Saya berasa amat berbesar hati melihat diri saya digambarkan di sisi beliau. Beliau telah mencurahkan begitu banyak bakti kepada negara ini, dan saya telah mengenali kebaikan hatinya sejak saya masih muda.
Digambarkan bersama Mummy menyentuh hati saya lebih daripada yang mampu saya ungkapkan.
Sekeping gambar lain membawa ingatan saya kembali ke Masjid Negara. Kami duduk berdekatan dalam kalangan jemaah wanita, membaca Yasin.
Apabila saya melihatnya sekarang, saya teringat perasaan berada di sisi beliau, berdoa bersama-sama.
Satu gambar memperlihatkan bagaimana orang lain melihat kami. Satu lagi mengingatkan saya kepada wanita yang saya kenali dan sayangi. Saya akan sentiasa bersyukur kerana perjalanan hidup kami dipertemukan begitu rapat.
Sepanjang tahun-tahun itu, saya mengenali wanita anggun yang sentiasa berpakaian kemas, sebagaimana yang dikenali ramai.
Saya juga mengenali sisi beliau yang mesra dan lucu, yang bercerita kepada saya tentang bola golf yang jatuh di balkoninya dan monyet yang mencuri makanannya. Beliau mencintai muzik.
Beliau bermain biola dan menghantar rakamannya kepada saya. Beliau menyanyikan Happy Birthday untuk saya melalui pesanan suara.
Ketika beliau menyertai kami untuk makan tengah hari selepas kami menerima ijazah kedoktoran daripada Universiti Multimedia, beliau ingin menyanyi dan menari bersama saya.
Beliau berpesan supaya saya tidak memainkan lagu My Way untuk Tun Dr. Mahathir kerana beliau tidak menyukai lagu itu.
Oleh sebab penglihatannya lemah, beliau sering menghantar pesanan suara daripada menaip. Saya menyimpan nombor beliau dengan nama Mum HP, kerana beliau telah menjadi seperti seorang ibu kepada saya.
Beliau memanggil saya sayang, menggenggam tangan saya dan memberikan nasihat dengan penuh kelembutan. Sepanjang tempoh kami menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, hubungan kami menjadi sangat rapat.
Beliau memahami banyak perkara tanpa perlu saya jelaskan panjang lebar. Pada salah satu saat paling sukar dalam hidup saya, beliau menghantar pesanan suara. Kata-katanya halus dan tersirat, tetapi saya tahu beliau memahami apa yang sedang saya lalui. Beliau ada untuk saya.
Kami juga menunjukkan kasih sayang melalui perkara-perkara sederhana. Saya menghantar aiskrim durian, puff durian dan dadar daging kepada beliau dan Tun Dr. Mahathir, yang amat digemari mereka berdua.
Saya menghadiahkan beliau Tenun Pahang Diraja. Sejurus sebelum pandemik, beliau merancang satu majlis minum petang bersama isteri-isteri menteri untuk menyambut saya sebagai Raja Permaisuri Agong.
Saya terpaksa membatalkannya apabila jatuh sakit selepas menunaikan umrah dan dimasukkan ke hospital. Tun Hasmah datang menziarahi saya di sana.
Ramai rakyat Malaysia mengenang beliau sebagai isteri kepada Perdana Menteri kita yang paling lama berkhidmat.
Saya mengenang beliau sebagai seorang wanita yang turut menabur bakti kepada negara atas usaha dan sumbangannya sendiri.
Beliau menjadi teladan kepada isteri-isteri menteri, menggalakkan mereka berkhidmat bersama suami demi kesejahteraan orang lain.
Saya masih ingat perlawanan badminton anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI), serta semangat dan kemesraan yang beliau bawa ke acara-acara seperti itu.
Beliau menjalankan peranannya dalam kehidupan awam dengan penuh martabat, namun tidak pernah kehilangan kemesraan peribadinya.
Bagi saya, beliau ialah teladan terbaik seorang isteri pemimpin: Berwibawa, anggun dan amat mengambil berat tentang orang lain.
Pernah sekali beliau memberitahu saya bahawa sebuah buku telah menyebut beliau sebagai Wanita Pertama.
Beliau datang meminta maaf. “Saya bukan Wanita Pertama. Raja Permaisuri Agonglah Wanita Pertama. Ampunkan saya, Tuanku,” katanya. Beliau tidak perlu meminta maaf atas kata-kata orang lain.
Namun, kesudian beliau berbuat demikian memperlihatkan betapa beliau menjaga perasaan orang lain.
Apabila suami saya dan saya mengadakan majlis minum petang perpisahan pada penghujung tempoh baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, kami menjemput para Perdana Menteri dan menteri yang pernah berkhidmat sepanjang tempoh itu.
Petang tersebut begitu indah dan penuh nostalgia. Tiga orang bekas Perdana Menteri duduk bersama menikmati minum petang dengan seorang Yang di-Pertuan Agong yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan baginda.
Tun Hasmah turut berada di situ, berbual dengan penuh mesra bersama isteri-isteri bekas Perdana Menteri. Saya masih dapat membayangkan beliau dalam kalangan mereka.
Pesanan suara terakhir yang saya terima daripada beliau ialah pada November 2023. Saya berada di Istanbul bersama Wanita Pertama Turkiye, Emine Erdogan dan kami merakamkan pesanan untuk beliau bersama-sama.
Tun Hasmah membalas bahawa beliau sangat merindui saya dan ingin memeluk saya.
Saya mendengar semula suaranya selepas pemergian beliau, lalu saya menangis.
Alangkah baiknya jika saya telah menyimpan semua pesanannya. Apabila saya bertukar telefon, saya kehilangan rakaman nyanyian hari lahirnya, permainan biolanya dan begitu banyak perbualan kecil kami.
Saya berharap masih ada peluang untuk menemuinya semula. Tetapi saya masih mempunyai balasan terakhir itu. Saya masih dapat mendengar beliau mengatakan bahawa beliau merindui saya.
Ketika mengucapkan selamat tinggal, saya teringat akan tahun-tahun beliau menjadi sebahagian daripada hidup saya: Kek yang kami kongsi ketika saya masih seorang anak gadis, kunjungannya ke hospital, tangannya yang menggenggam tangan saya dan panggilannya kepada saya — sayang.
Saya juga memikirkan Tun Dr. Mahathir yang duduk di sebelah saya, kini tanpa isteri yang telah berada di sisinya selama 70 tahun.
Kemudian, saya teringat akan jam tangan itu.
Ayahanda saya menghadiahkannya kepada beliau suatu masa dahulu. Beliau menyimpannya dan apabila puteri baginda menjadi Raja Permaisuri Agong, beliau memakainya setiap kali bertemu saya.
Beliau tidak pernah berucap tentang kesetiaan atau mengenang seseorang. Beliau hanya menyarungkan jam tangan itu.
Begitulah Mummy. Tiada siapa yang akan dapat menggantikan beliau.
Al-Fatihah. Semoga Allah mengampuni Tun Dr. Siti Hasmah, merahmati beliau dan mengurniakan beliau tempat yang tertinggi di syurga. – UTUSAN










