PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2026 bakal menjadi pentas penting untuk memperkukuh agenda perpaduan ummah yang digerakkan UMNO menerusi kolaborasi agung, sekali gus memperkemas kesiapsiagaan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Presiden UMNO, DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI, melihat kebangkitan semula kekuatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerusi kemenangan dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN), bermula di Johor sebelum diteruskan di Negeri Sembilan, sebagai petunjuk kemunculan gelombang biru yang semakin mendapat tempat.
Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR dan FITRI NIZAM, dengan dibantu jurufoto, SHIDDIEQIIN ZON, beliau yang juga merupakan Pengerusi BN turut mengupas hala tuju perpaduan ummah yang kini menjadi antara pendekatan penting UMNO dalam memperkukuh kekuatan politik Melayu serta menghadapi persaingan menuju PRU16.
UTUSAN: Bagaimana mood UMNO selepas menang PRN Johor dan Negeri Sembilan?
AHMAD ZAHID: UMNO melihat gelombang biru sebagai satu realiti politik yang perlu dirangkul, berdasarkan beberapa uji kaji yang telah kita lakukan. Landskap politik Sabah sememangnya berbeza tetapi di Johor, UMNO bertanding secara solo dan gelombang biru tetap melanda meskipun tidak menjalin kerjasama secara formal dengan mana-mana parti politik.
Tetapi jelas daripada 56 kerusi yang ditandingi, BN memperoleh 48 kerusi berbanding 40 kerusi yang dimenangi pada PRN sebelumnya. Perkembangan ini memperlihatkan terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kemunculan gelombang biru dalam landskap politik Johor.
Apabila pendekatan itu dibawa ke PRN Negeri Sembilan, formulanya berbeza tetapi matlamatnya tetap sama, iaitu mengekalkan gelombang biru. Perkara ini tidak mustahil berlaku di mana-mana negeri.
Pendekatan dan formulanya mungkin berbeza tetapi hakikatnya gelombang biru adalah satu realiti politik yang baharu, di mana orang Melayu mahukan perpaduan diasaskan semula. Bukan hanya pada nama tetapi kepada hati perut Melayu.
Saya tidak mahu menyebut mana-mana parti tetapi secara keseluruhannya, orang Melayu mahu penyatuan Melayu direalisasikan semula.
Apa mesej utama yang akan dibawa ke PAU kali ini?
Ada banyak mesej yang hendak disampaikan tetapi hakikatnya, trend dunia memberikan penekanan terhadap nativeness (kekitaan). Dulu kita lihat, dalam zaman pra Perang Dingin, parti-parti politik dunia ada banyak haluan, ada komunisme dan sosialisme tetapi selepas pasca perang, kita dapati kumpulan pertengahan seperti liberal dan demokrat menjadi dominan di banyak negara. Sekarang, nativeness kepada rasa kekitaan mengikut kumpulan-kumpulan asli di mana-mana negara.
Ia tidak dapat dielakkan di negara kita ini. Saya fikir ini realiti yang dilihat di Johor dan Negeri Sembilan. Saya fikir kalau ada mana-mana organisasi politik yang cuba untuk menongkah kehadiran gelombang ini, mereka akan mengalami sedikit kesukaran walaupun pelbagai strategi dan taktik dilakukan.
Bagaimana Datuk Seri melihat UMNO selepas kekalahan pada PRU14 lalu?
UMNO tetap konsisten. Walaupun ketika menjadi pembangkang selama 22 bulan. Bukan mudah untuk menjadi presiden mana-mana parti politik ketika parti itu berkuasa, sangat dominan dari segi kekuasaan. Tetapi (kemudiannya) ramai yang meninggalkan wadah itu bila ghanimah (habuan) itu tidak dinikmati oleh mereka.
Bagi saya, kekangan yang dihadapi UMNO boleh diistilahkan sebagai penghakisan pengaruh. Keadaan ini berlaku apabila parti tidak lagi mempunyai kuasa politik seperti dahulu. Dalam mana-mana organisasi, apabila cahaya mula malap, lazimnya akan ada yang meninggalkan organisasi untuk mencari cahaya yang lebih terang.
Maka berlakulah apa yang dipanggil sebagai serpihan. Saya tidak anggap itu sebagai sesuatu yang menjadikan UMNO berakhir. Ya, (ujian) pasti datang tetapi perlahan-lahan UMNO dan BN naik semula dan kita harus mendukung agar ia akan naik ke kemuncak.
Apa yang menjadi taruhan UMNO untuk memperoleh semula kepercayaan orang Melayu?
Kita tidak menjurus ke sesuatu gabungan parti politik. Yang penting kerjasama ini boleh dapat menggarap dan menarik semula penyatuan fikiran, hati nurani serta juga tindakan.
Orang Melayu mempunyai satu konsep iaitu politik naungan. Jadi, mereka meletakkan harapan semula kepada UMNO dan BN kerana bukan hanya mahu bernostalgia selama 62 tahun apabila UMNO menjadi pemerintah tetapi rakyat telah melihatnya selama 22 bulan.
Selepas itu tukar Perdana Menteri, dan semuanya datang daripada UMNO. Perdana Menteri sekarang pun mempunyai DNA UMNO. Orang Melayu dapat membuat perbandingan, mereka juga melihat lapan orang menteri daripada BN memperlihatkan prestasi yang cukup baik. Ini memberikan harapan kepada pada rakyat terhadap BN. Ini memberikan harapan kepada rakyat keseluruhannya untuk UMNO diberi kepercayaan semula menjadi pentadbir utama di negara ini.
Pandangan Datuk Seri terhadap pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh yang menegaskan jika UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), beliau akan meletakkan jawatan?
UMNO menghormati pendirian itu tetapi keputusan parti adalah muktamad. Keputusan parti dilakukan setelah dibuat secara kolektif.
Pandangan Ketua Pemuda itu bukan pandangan peribadi sebenarnya. Itu pandangan keseluruhan anak-anak muda dalam UMNO dan itulah hakikatnya.
Apakah ciri dan nilai yang perlu ada pada sesebuah parti politik untuk UMNO mempertimbangkannya sebagai rakan kerjasama menghadapi PRU16?
Kita mempunyai beberapa dapatan kajian yang dilakukan oleh badan-badan bebas, termasuk ahli akademik, menerusi kajian perbandingan. Daripada dapatan tersebut, kajian merumuskan orang Melayu mahukan sebuah gabungan parti-parti Melayu yang dapat membentuk kerajaan yang kuat.
Kita tidak berhasrat menolak mana-mana kaum. Bila parti-parti Melayu itu kuat, parti-parti bukan Melayu pun akan sama-sama (kuat) sebenarnya. Ini hakikat. Kalau lihat dulu dalam Parti Perikatan, kemudiannya bertukar kepada BN dan ada gabungan parti-parti politik lain tetapi akhirnya kita mahu Melayu kembali dominan di persada politik tanah air.
Bercakap soal kekitaan, masih ada sesetengah pihak memainkan isu kaum dan sebagainya. Jadi bagaimana UMNO hendak pastikan ia tidak menjadi polemik?
Kekitaan ini bukan rasisme, bukan perkauman. Kenapa mesti kita apologetic (rasa bersalah)? Kita tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum, agama ataupun budaya. Orang Melayu dari segi tamadunnya sangat menghormati rakan-rakan daripada kaum lain. Ini darah daging kepada budaya kita.
Tidak seharusnya timbul kekhuatiran. Dalam agenda Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang menyebut berlakunya peminggiran. Dalam hal-hal yang terkait dalam soal pendidikan dan sosial, serta ekonomi pun kita mempunyai prinsip yang sama dalam penyertaan ini. Jadi, rasa khuatir tidak harus timbul kerana masyarakat majmuk di Malaysia adalah satu sunnatullah. Allah SWT menentukan kemajmukan ini.
Bagaimana mahu bezakan antara penyatuan Melayu dengan perkauman?
Itu yang dipanggil dalam suasana logik biasness dan prejudis, atau perasaan yang tidak dapat dielakkan. Saya membaca buku sosiologis Prof. Emeritus Datuk Dr. K.J. Ratnam yang melihat dari segi pola resepsi, perkara itu sudah wujud sejak zaman pramerdeka dan tidak dapat dielakkan. Yang penting, kita menghormati pelbagai kaum di negara ini. Sunatullah telah menentukan negara kita ialah negara yang berbilang kaum. Inilah hakikat sebenarnya.
KEMBALIKAN MANDAT RAKYAT
Datuk Seri mahu PRU dipercepatkan, sedangkan Perdana Menteri berhasrat menghabiskan penggal. Apa asas Datuk Seri mencadangkan PRU dipercepatkan?
Ini soal mandat. Apabila sampai tempohnya, kita tidak mahu sesuatu perkara itu dibiarkan sehingga ke penghujung. Keadaan ini boleh memberi risiko kepada gabungan, apatah lagi jika pihak di luar gabungan turut mempunyai niat untuk menjadi dominan dan mencari pengaruh.
Pada hemat saya, apabila timbul apa-apa isu di luar, mandat rakyat tetap menjadi perkara paling penting. Kita perlu memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa apa yang dijanjikan hari ini untuk dilaksanakan esok benar-benar ditunaikan. Jangan sampai berlaku sebaliknya.
Datuk Seri menyebut PAU kali ini tidak akan memutuskan kerjasama dengan mana-mana gabungan, sebaliknya akan menilai manfaat dan mudarat. Adakah pertimbangan itu cenderung kepada mana-mana parti?
Gabungan yang meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Itu menjadi keutamaan pada kita.
UMNO/BN mengukuhkan kekuatan selepas berada dalam Kerajaan Perpaduan dan mendapat peluang dalam Kabinet, malah berjaya memenangi PRN Johor serta Negeri Sembilan. Adakah keputusan atau pendirian UMNO selepas ini boleh dilihat sebagai tindakan yang tidak mengenang budi?
Siapa yang berbudi? Siapa yang harus mengenang budi? Tanpa 30 kerusi ini, kerajaan tidak akan wujud. Kerana 30 kerusi ini kerajaan akhirnya boleh dibentuk. Yang lain-lain baru mengikut. Jadi siapa yang berbudi?
Ketika kita berada di luar kerajaan, kita menang di Melaka, 21 kerusi, tiada pun Kerajaan Perpaduan. Apabila pilihan raya di Johor, kita menang 40 daripada 56, tiada pun Kerajaan Perpaduan.
Tetapi kenapa apabila kita yang merealisasikan kewujudan kerajaan sekarang ini, kita pula yang dikatakan tidak mengenang budi? Saya khuatir orang lain kata mereka tidak mengenang budi kepada kita.
Mungkin ada rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang terasa apabila Datuk Seri mahu percepatkan pilihan raya?
Semasa berada di luar kerajaan pun mereka meminta supaya pilihan raya diawalkan. Bagi seseorang yang menjadi nakhoda, tentulah mereka mahu tempoh kepimpinan itu lebih lama kerana lebih menguntungkan mereka. Tetapi bagi rakyat, pertimbangannya ialah apa yang terbaik untuk kepentingan mereka.
Bukan mahu sering melukakan hati sesiapa tetapi apabila kita bercakap, apa yang dijanjikan perlulah dikotakan dan ditepati.
Saya tidak mahu menyentuh sesiapa dalam hal ini tetapi itulah hakikat yang telah berlaku.
Adakah BN tidak selesa dalam gabungan Kerajaan Perpaduan hari ini?
Perbezaan pendapat itu memang diraikan. Tetapi apabila sesuatu keputusan dibuat, kita harus menghormatinya. Ini prinsip UMNO dan BN. Kita menghormati sebarang keputusan walaupun berbeza pandangan.
Umpamanya Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), walaupun bersama dalam kerajaan tetapi kami mempunyai pandangan yang berbeza dan kita mengadakan konvensyen khas. Akhirnya pandangan itu diketengahkan.
Begitu juga pilihan raya kerajaan tempatan (PBT). Kita mempunyai pandangan yang berbeza. Kita bukan memaksa pun tetapi memberikan fakta dan rasional yang baik untuk sesuatu perkara itu tidak dilaksanakan. Akhirnya, bersama dengan Kerajaan Perpaduan, tidak meleburkan identiti dan tugas serta tanggungjawab kita sebagai sebuah parti Melayu.
Proses kematangan ini mengambil waktu tetapi saya bersyukur kerana tempoh lapan tahun ini tidak terlalu panjang sebenarnya untuk kita melakukan solidariti semula di dalam rumah bangsa dan ia diterima dengan baik.
Kita mengadakan Musyawarah Nasional dengan menggabungkan tenaga daripada ahli-ahli akademik, ahli profesional, ahli-ahli politik, ulama dan sebagainya untuk berada dalam satu wadah.
Kita adakan kolaborasi agung dengan mereka supaya isu-isu yang menjadi keutamaan orang Melayu dan juga negara dapat diwacanakan agar tidak banyak perbezaan pendapat.
Tetapi apabila kristalisasi dilakukan, pencerahan dilakukan, maka timbul kesefahaman yang baik. Dan ini yang kami lakukan.
Di mana tahap kebangkitan UMNO ketika ini?
Saya rasa, daripada skala 10, kita kini berada pada tahap 7.5 dan tidak mustahil untuk terus bergerak ke tahap yang lebih tinggi. Namun, janganlah berlaku sekali lagi gunting dalam lipatan.
Yang penting, kita lupakan kesilapan lama. Kalau mereka mengakui kesilapan, saya juga mengakui kelemahan saya. Saya mempunyai kelemahan dan kita perlu memperbaikinya bersama supaya kita dapat berada dalam satu wadah yang sama.
Sebenarnya, kita mempunyai matlamat yang sama, cuma ditafsirkan melalui beberapa pendekatan yang berbeza.
Baki 2.5 itu masih belum tercapai. Saya fikir ada beberapa isu yang perlu kita tangani kerana tidak semua orang memahami perkara yang sama, memandangkan latar belakang berbeza, sama ada di kawasan bandar, pinggir bandar mahupun luar bandar. Pandangan kita mungkin sedikit berbeza tetapi saya berharap menjelang PRU16, perkara ini dapat dicapai.
Datuk Seri yakin mampu menjadi tunjang dalam pentadbiran selepas PRU16?
Dengan syarat penyatuan dan perpaduan dapat diperkukuh dalam parti, selain mendapat dukungan daripada pihak di luar parti.
PAS PERLU IKHLAS
Bagaimana Datuk Seri melihat sikap Pas pada hari ini?
Kita yakin dengan niat mereka untuk melakukan penyatuan ummah. Saya sering memberikan penekanan terhadap keikhlasan, walaupun tidak tahu sebenarnya ikhlas atau tidak tetapi Allah tahu.
Dalam perkara ini, keikhlasan itu terserlah apabila sesuatu usaha itu berjaya atau sebaliknya. Jadi, dalam hal ini, kita terjemahkan keikhlasan tersebut dalam bentuk tindakan.
Di Muktamar Pas, kepimpinan parti itu dilihat mahu mengekalkan status quo di negeri-negeri pentadbiran mereka. Dalam konteks PRU16, bagaimana Datuk Seri melihat kedudukan Selangor dan Perak?
Saya fikir kita tidak boleh menghalang cita-cita mereka tetapi mereka juga tidak boleh menghalang cita-cita kita.
Bila UMNO akan kembali menjadi tunjang negara sebagai satu parti?
Kita jangan berhasrat untuk mengecat awan dengan warna yang berbeza atau membentuk pelangi dengan warna yang bukan warnanya. Namun, yakinlah apabila awan hitam berarak pergi, saya pasti langit akan membiru semula.
Apa cabaran BN pada PRU16 kali ini?
Banyak cabaran tetapi kita boleh atasi. Kita gunakan pendekatan kristalisasi, bukan sekadar pencerahan. Apa yang kita terangkan mesti crystal clear.
Kita mesti yakin apa yang kita lakukan itu betul dan merasakan keyakinan tersebut apabila mendapat hidayah daripada Allah. Yakinlah, yang paling utama ialah keikhlasan dan Allah akan membantu mana-mana hamba-Nya yang ikhlas.
Iblis juga tidak boleh mengganggu hamba-hamba Allah yang ikhlas. Itu janji Allah.
Bagaimana Datuk Seri pastikan UMNO/BN bukan sahaja mendapat sokongan Melayu luar bandar tetapi juga bandar dalam PRU16?
Dengan pendekatan dan formula baharu ini, saya yakin sokongan Melayu akan kembali kepada kita.
Bagaimana pula untuk pastikan tidak berlaku gunting dalam lipatan sebaik sahaja kerjasama dengan sesebuah parti lain dilakukan?
Eloklah adakan pertemuan dan perbincangan secara langsung. Kita tidak perlu ada jambatan. Jambatan itu yang merosakkan kerana digunakan oleh pembina jambatan untuk kepentingannya. Jadi elok kita jaga hubungan secara langsung.
Bagaimana merapatkan perbezaan antara parti yang mempunyai banyak kerusi dengan parti yang tidak mempunyai kerusi di sesebuah negeri?
Yang penting, pemikiran kita sama. Ini bukan soal jumlah kerusi. Apa yang perlu kita lakukan ialah bermuhasabah dan mengambil ibrah daripada negeri yang menang mahupun kalah.
Pada hemat saya, kita perlu melupakan kelemahan dan kekurangan lalu membina kekuatan. Saya fikir, insya-Allah, ada cahaya di hujung sana.
Tentang beberapa pendakwaan terhadap pemimpin UMNO BN, adakah memberi kesan langsung kepada parti?
Kenapa mesti digari? Kenapa mesti dipakaikan baju oren? Siasatlah berapa hari sekalipun tetapi kenapa perlu dimalukan dan diaibkan seolah-olah sudah dihukum terlebih dahulu? Apabila perkara itu saya bangkitkan, ia diteliti terlebih dahulu. Ini satu perkara yang positif.
Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh poster boy PRN Melaka?
Rauf adalah seorang Ketua Menteri yang sangat proaktif, kreatif dan rajin. Beliau banyak melakukan perubahan. Sebagai manusia, kalau kita mahu mencari pemimpin yang baik, tanyalah kawan, kalau mahu tahu yang tidak baik, tanyalah musuh.
Sebagai sahabat beliau, saya katakan Rauf adalah seorang pemimpin yang baik dan mampu melakukan transformasi untuk Melaka.










